AGENSISELANGOR

Air Selangor ganti injap Kolam Air Kepong Estate Khamis ini

SHAH ALAM, 29 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melakukan penggantian injap (Sluice Valve) di kawasan Kolam Air Kepong Estate yang mengalami kebocoran serius bermula 9 malam, Khamis ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata kerja penggantian injap yang dijangka mengambil masa 23 jam itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan insiden luar jangka yang boleh menjejaskan bekalan air kepada pelanggan.

“Air Selangor mengeluarkan notis makluman ini supaya pelanggan yang terkesan dapat membuat persediaan bagi menghadapi gangguan bekalan air sementara untuk tempoh 23 jam ekoran pelaksanaan kerja penggantian injap yang akan bermula pada 9 malam, 31 Oktober ini.

“Bekalan akan dibuka sejurus kerja pembaikan siap dan disasarkan pulih sepenuhnya pada 8 malam, Jumaat 1 November 2019,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 120 kawasan di wilayah Gombak dan 57 kawasan di wilayah Kuala Lumpur membabitkan 119,630 akaun akan terjejas dengan gangguan bekalan air sementara ini.

Katanya, pelanggan yang terlibat dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air sepanjang tempoh gangguan.

“Air Selangor akan menggerakkan bantuan lori tangki air dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.

“Mohon maaf atas segala kesulitan dan Air Selangor mengambil segala usaha bagi mempercepatkan serta melaksanakan kerja penggantian injap mengikut jadual juga pemulihan bekalan serta meminimumkan impak gangguan,” katanya.


Pengarang :