AGENSISELANGOR

‘Al-Biruni Zakat Selangor’ bantu kanak-kanak miskin bandar

PETALING JAYA, 19 OKT: Dalam usaha membantu masyarakat miskin di bandar yang terus meningkat setiap tahun, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menubuhkan Pusat Pembelajaran dan Inovasi Kanak-kanak: Al-Biruni Zakat Selangor, di sebuah Pangsapuri Desa Mentari (PPR), Petaling Jaya.

Ketua Pegawai Operasi LZS Ariffa Ariffin berkata sejak Ogos, kadar keluarga fakir miskin di Selangor meningkat daripada 40,000 hingga 54,000 dan menjangkakan akan meningkat hingga 70,000 keluarga, pada tahun depan.

Katanya, majoriti masyarakat miskin bandar tinggal di kawasan flat jenis Program Perumahan Rakyat (PPR) yang hanya bersaiz lebih kurang 850 kaki persegi (79 meter persegi), dan menjadi tempat makan, tidur, dan belajar.

“LZS mengambil inisiatif untuk menyewa dua buah rumah kedai di Blok 9 dan 10 PPR Desa Mentari di Petaling Jaya yang berada di kawasan bandar besar di mana 60 peratus penduduknya adalah Melayu dan beragama Islam.

“Kami juga membabitkan Adab Youth Garage sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam operasi pusat pembelajaran dan inovasi kanak-kanak ini,” katanya kepada media di Al-Biruni Zakat Selangor, Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Ariffa berkata semua aktiviti di pusat itu adalah baik untuk kanak-kanak, daripada membiar mereka terjebak dengan gejala negatif ataupun merayau di tempat yang tidak diketahui ibu bapa mereka.

“Jika projek ini berjaya, LZS akan kembangkan program ini ke kawasan lain di negeri Selangor dan kami sedang dalam perbincangan untuk membuka pusat di kawasan Kota Damansara dan Subang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ariffa berkata hasil kutipan zakat tahun lalu berjumlah RM794 juta, dan antara hasil kutipan ini telahpun disalurkan ke pusat ini dengan kos pembayaran operasi Al-Biruni Zakat Selangor kira-kira RM120,000 setiap tahun.

“Dalam masa terdekat ini kita akan menggunakan kutipan zakat ini juga untuk memanggil ustaz mengajar anak-anak ini mengaji al-Quran, dan guru untuk mengajar tuisyen secara percuma,” katanya.

Al-Biruni Zakat Selangor adalah projek perintis LZS, di bawah Program Pembangunan Kanak-kanak Miskin Bandar sebagai langkah pertama lembaga dalam usaha menyantuni masyarakat miskin bandar di negeri Selangor.

Projek ini bertitik tolak daripada laporan kaji selidik yang diterbitkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (UNICEF) pada Februari 2018 bertajuk ‘Kanak-kanak Pinggiran’ berkisar masalah kemiskinan kanak-kanak bandar di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

-BERNAMA


Pengarang :