AGENDANASIONAL

Aliran trafik lancar di kebanyakan lebuh raya

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama dilaporkan lancar dan terkawal, setakat pagi ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata, aliran trafik menuju ke utara dan selatan lancar berikutan orang ramai sudah tiba di kampung sempena sambutan perayaan Deepavali hari ini.

“Aliran trafik dijangka meningkat pada sebelah petang ini dengan kemungkinan ada daripada mereka mahu pulang awal.

“Jangkaan trafik diramal akan mula sesak esok (Isnin),” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah juga dilaporkan lancar setakat ini.

“Trafik di kebanyakan tol seluruh negara lancar namun trafik (dari arah pusat bandar) sebelum masuk Plaza Tol Gombak mula bergerak perlahan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA


Pengarang :