Muhammad Aqil Aqmar Md Ahad bergambar mesra bersama ibu bapa, Masliza Mustafa, 53, (kiri) dan Md Ahad Sadiman, 56, selepas Majlis Konvokesyen UCAM ke-18 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia pada 24 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anak tukang kebun dianugerah graduan terbaik

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Pengorbanan keluarga merupakan rahsia pembakar semangat buat Muhammad Aqil Aqmar Md Ahad, 21, agar sentiasa belajar bersungguh-sungguh dalam merealisasikan impian untuk membantu keluarga pada masa depan.

Demikian luahan anak tukang kebun itu, ketika berucap di hadapan lebih 400 graduan pada majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang ke-18, di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Beliau yang dianugerah penerima anugerah Graduan Keseluruhan Terbaik pada majlis konvokesyen itu menceritakan pengalamannya melihat pengorbanan ayah beliau, Md Ahad Sadiman, 56, dalam memastikan anak-anak sentiasa mendapat pendidikan yang baik.

Muhammad Aqil Aqmar, anak kedua dalam keluarga, berkongsi kisah rumahnya pernah hangus dijilat api, sehinggakan keluarganya hidup sehelai sepinggang dan berbekalkan RM500 sebulan sebagai upah tukang kebun, ayahnya sentiasa mendahulukan kepentingan pendidikan anak-anaknya.

“Kisah ini yang menjadi pengikat iltizam untuk saya belajar bersungguh-sungguh supaya saya tidak menghampakan impian keluarga dan menerusi ilmu Insya-Allah satu hari nanti saya dapat membalas jasa mereka,” katanya sambil mengalirkan air mata ketika ditemu bual bersama Bernama.

Muhammad Aqil Aqmar berjaya menamatkan pengajiannya dalam program Diploma Perniagaan Tani dengan memperoleh keputusan gred kumulatif terkumpul (CGPA) 3.82 dan beliau juga penerima Anugerah Naib Canselor dengan menerima Kepujian Dekan dalam semua enam semester.

Muhammad Aqil Aqmar turut berterima kasih kepada UCAM kerana memberi ruang kepadanya untuk melanjutkan pengajian dalam sektor perniagaan tani yang disifatkan kurang ‘popular’ dalam kalangan anak muda.

Sementara itu, Ketua Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Hisan dalam ucapannya pada majlis konvokesyen yang menyaksikan 474 graduan dianugerah ijazah sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil itu, berkata UCAM akan terus memainkan peranan sebagai wadah untuk melahirkan intelektual dalam industri pertanian.

“Peranan UCAM tidak terhenti setakat mendidik pelajar dalam aliran akademik semata-mata. UCAM sebagai sebuah syarikat milikan RISDA juga sentiasa komited dalam menyumbang kepakaran dan latihan dalam meningkatkan modal insan negara.

“Malah, UCAM turut melaksanakan kajian penyelidikan untuk membantu pihak RISDA dalam mengenal pasti potensi pembangunan pekebun kecil,” katanya.

UCAM bermula sebagai sebuah pusat ilmu yang menawarkan kemahiran melatih pekebun-pekebun kecil sebelum ia ditransformasikan kepada institut pendidikan tinggi dan kini kolej itu berdiri teguh sebagai sebuah kolej universiti.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1999, UCAM yang dahulunya dikenali Kolej RISDA melahirkan 10,019 graduan bukan sahaja dalam bidang pertanian malah dalam bidang keusahawanan, perniagaan, perakaunan, rangkaian komputer, komunikasi dan pembangunan luar bandar.

-BERNAMA


Pengarang :