Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) menyampaikan testimoni selepas tausiyah di rumah Allahyarham B.J. Habibie di Jakarta. Foto Twitter Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar ziarah keluarga Allahyarham BJ Habibie

JAKARTA, 10 OKT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menziarahi keluarga Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie (BJ Habibie), bekas presiden Indonesia di kediaman Allahyarham di Patra Kuningan, Jakarta, malam tadi.

Tiba kira-kira 8 malam, Anwar disambut dua anak BJ Habibie, iaitu Ilham Akbar Habibie dan Thareq Kemal Habibie dan kemudian bersilaturahim dengan orang ramai yang mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham.

Anwar turut memohon maaf kepada keluarga Allahyarham atas kekangannya yang tidak dapat hadir pada hari pengebumian Allahyarham pada 12 September lalu.

BJ Habibie meninggal dunia pada usia 83 tahun di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto, ekoran pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya pada 11 September lalu.

Foto Twitter Anwar Ibrahim

BJ Habibie adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Bercakap kepada pemberita, Anwar yang turut mengimbau kenangan dan keakrabannya bersama Allahyarham, berkata hubungan Malaysia dan Indonesia perlu diperkukuhkan lagi, menerusi hubungan akrab antara pemimpin kedua-dua negara.

“Hubungan intim (perlu) kalangan pemimpin (kedua-dua negara) dan sebahagian besar permasalahan (antara kedua-dua) negara akan dapat diselesaikan,” kata Anwar.

Pada majlis pengebumian BJ Habibie, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hadir menzahirkan penghormatan dan takziah Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :