AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Apa anda mahu menjelang Belanjawan Selangor 2020

SHAH ALAM, 23 OKT: Dato’ Menteri Besar, Ammirudin Shari memberi peluang kepada pengikut Twitternya untuk memilih fokus utama yang mereka mahu menjelang pengumuman Belanjawan Selangor 2020 yang dijadual berlangsung pada 1 November ini.

Menerusi akaun Twitternya, Amirudin membuka ruang kepada netizen untuk mengundi empat sektor utama iaitu pendidikan, perumahan, keselamatan dan kesihatan untuk dipilih.

“Pendapat anda menjelang Belanjawan #Selangor2020 nanti, bidang manakah yang perlu Kerajaan Negeri beri fokus utama?.

“Saya ingin mendengar pendapat anda. Undi dan kemudian ulang kicau (retweet),” tulisnya.

Sehingga jam 9 pagi ini, 54 peratus netizen mengundi sektor perumahan yang perlu diberi fokus utama sementara pendidikan di tempat kedua dengan undian sebanyak 25 peratus, keselamatan (11 peratus) dan kesihatan 10 peratus.

Undian masih berlangsung dalam tempoh lapan jam lagi.

Sementara itu, salah seorang pengguna Twitter, @hanamajid69 berkata, beliau berharap supaya Kerajaan Selangor memudahkan pemilikan rumah bagi mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah.

Bagi A.Hakimy pula beliau mahu Dato’ Menteri Besar tidak terlepas pandang mengenai masalah statistik kesihatan mental yang semakin meningkat di negeri ini.

“Isu ini perlu dibincangkan serta mendapat penyelesaian,” tulisnya di ruangan komen.


Pengarang :