PBTSELANGOR

Aplikasi CEPat boleh diguna di tiga PBT

SHAH ALAM, 2 OKT: Aplikasi mudah alih transaksi tanpa tunai terbaharu ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat yang dilancarkan pertengahan Ogos lalu kini boleh digunakan di tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di Selangor bermula 1 Oktober.

Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dalam kenyataan memaklumkan, PBT berkenaan ialah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“CEPat adalah sebuah gerbang pembayaran dalam talian bagi semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat, khususnya di pentadbiran Selangor.

“Antara perkhidmatan yang disediakan melalui CEPat ini termasuk permohonan lesen perniagaan (tidak berisiko), memperbaharui lesen perniagaan, pembayaran kompaun dan juga cukai taksiran,” kata kenyataan itu.

Katanya, aplikasi CEPat yang dibina sejak setahun lalu boleh dimuat turun di Google Play Store bagi pengguna Android dan AppStore bagi IOS.

Aplikasi CEPat menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ bagi membolehkan keberkesanan pengguna yang cepat dan selamat dengan integrasi sistem ke peringkat bawahan operasi majlis perbandaran serta daerah.

Dalam aplikasi berkenaan turut membenarkan tiga bentuk pembayaran melalui JomPay, perbankan elektronik serta beberapa e-dompet.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dilaporkan berkata, sasaran Selangor ke arah bergelar negeri pintar menjelang tahun 2025 berada di landasan betul melalui pembinaan aplikasi yang diterajui SSDU.

Katanya, ia juga bagi menyemarakkan lagi ekosistem ekonomi digital untuk meningkatkan jumlah transaksi tanpa tunai dan memacu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri.

“CEPat akan menyediakan satu gerbang untuk semua perkhidmatan berbayar Kerajaan di pelbagai peringkat dalam pentadbiran Selangor,” katanya.


Pengarang :