SELANGOR

Aplikasi SIBS 2019 mudahkan pengunjung dapat maklumat

SHAH ALAM, 4 OKT: Pengunjung Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS 2019) boleh menggunakan aplikasi bergerak untuk mendapatkan maklumat aktiviti sepanjang persidangan berlangsung.

Pengunjung boleh memuat turun aplikasi SIBS 2019 itu dari android di Goolge Play Store dan IPhone di AppStore bagi mendapatkan maklumat lengkap persidangan terbesar itu di hujung jari sahaja.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, penggunaan aplikasi itu sejajar dengan Selangor yang menuju ke arah Negeri Pintar pada 2025.

“Aplikasi ini memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat aktiviti yang diadakan sepanjang persidangan berlangsung di hujung jari sahaja,” katanya di Sidang Media SIBS 2019 di Pejabat Invest Selangor, i-City di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, aplikasi ini juga boleh digunakan oleh delegasi untuk menguruskan temu janji perniagaan ketika persidangan berlangsung.

Katanya, delegasi perniagaan juga boleh melihat aktiviti perniagaan syarikat yang mengambil bahagian dalam SIBS 2019 kali ini.

SIBS 2019 yang dilangsungkan di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 10 hingga 13 Oktober 2019 dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung.


Pengarang :