Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Arab Saudi tawar e-visa tempoh setahun buat rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Kerajaan Arab Saudi kini menawarkan e-visa (elektronik visa) bagi tempoh setahun untuk rakyat Malaysia yang ingin melancong ke negara itu bermula bulan ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan Arab Saudi menawarkan visa untuk tiga bulan (90 hari) bagi tujuan pelancongan ke negara itu.

“Mereka kini ‘buka pintu, buka hati” kepada kita, dasar juga dilonggarkan di mana bagi pelancong Malaysia yang ingin ke Arab Saudi hanya perlu membayar 300 Saudi Riyal (RM335.68) sahaja dan mereka boleh keluar masuk ke negara itu dalam tempoh setahun,” katanya.

“Mereka (Arab Saudi) juga akan menghantar pegawai daripada sektor pelancongan mereka ke Malaysia untuk mengenal pasti cara mengendalikan pentadbiran pelancongan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran ‘The Great Steppe: History and Culture’ di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Katanya, menerusi tawaran e-visa itu juga, ia dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negara.

Pada 28 September lepas, Mohamaddin dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, keupayaan Malaysia membangunkan sektor pelancongan negara berjaya menarik kerajaan Arab Saudi untuk mengadakan hubungan dua hala yang lebih erat dalam sektor pelancongan.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Lembaga Pengarah Saudi Commision of Tourism and National Heritage Ahmad Aqil Al Khatib sewaktu menerima kunjungan hormat Mohamaddin ke Riyadh.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran pameran The Great Steppe: History and Culture’ sangat bertepatan dengan misi Tahun Melawat Malaysia 2020 dalam memperkenalkan Malaysia kepada negara luar.

“Kita jangkakan seramai 50,000 pengunjung akan menghadiri pameran yang sangat bermakna ini sepanjang sebulan ia diadakan,” katanya.

Pameran bermula hari ini hingga 31 Oktober itu menampilkan pelbagai artifak dari Kazakhstan selain kostum ‘Manusia Emas’ yang ditemui sekitar abad ke-5 sebelum Masihi yang diperbuat daripada lebih 4,000 kepingan emas yang berasingan dan kebanyakan bermotifkan haiwan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata, pameran berkenaan turut diadakan sempena persidangan Asian National Museum Association (ANMA) pada 29 hingga 31 Oktober ini.

– BERNAMA


Pengarang :