Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Mara, Dr Azizan Abdullah. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Atlet UiTM tempa nama di peringkat antarabangsa

SHAH ALAM, 26 OKT: Pencapaian pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam mengharumkan nama universiti dan negara di peringkat antarabangsa menerusi acara sukan wajar dibanggakan, demikian kata Dr Azizan Abdullah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM berkata, perkara itu memandangkan sukan di UiTM sudah diterima sebagai salah salah satu pendekatan untuk melonjakkan nama universiti ke persada antarabangsa.

Katanya, banyak kejayaan diraih institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berkenaan sebelum ini dalam pelbagai kategori sukan dipertandingkan.

“Antara atlet yang membanggakan ialah pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM Perlis, Khairulnizam Mohd Afendy yang berjaya memungut pingat perak dalam acara lumba layar, sekali gus melayakkan beliau ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Seterusnya, pelajar FSR UiTM Sarawak, Mohd Zuhayr Redza Noor Azrul melakar kejayaan di Kejohanan Sukan Tenpin Bowling yang berlangsung di Hong Kong, China. Malah, kejayaan ini adalah kali kedua terbesar selepas berjaya di Kejohanan Tenpin Bowling Sarawak Borneo 2019,” katanya.

Kontinjen Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi meraikan kejayaan selaku juara keseluruhan pada majlis perasmian penutup Sukan Antara Fakulti (SAF) 2019 di Stadium UiTM Shah Alam pada 25 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan penutupan Sukan Antara Fakulti (SAF) peringkat UiTM Shah Alam, di Stadium UiTM Shah Alam di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

Mengimbau kejayaan manis lain, Dr Azizan berkata, UiTM turut mempertahankan gelaran juara di kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2019 apabila kontinjen universiti terbabit berjaya membawa pulang sebanyak 132 pingat secara keseluruhan.

“Pasukan Futsal UiTM juga berjaya mempertahankan gelaran juara sebanyak empat tahun berturut-turut di Liga Super Futsal IPT 2019,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap dengan semua kejayaan ditempa dapat meningkatkan lagi nama UiTM di peringkat kebangsaan dan memartabatkan kedudukan universiti berkenaan di peringkat dunia.


Pengarang :