AGENSISELANGOR

‘Ayuh merah kuning cipta kemenangan di Shah Alam’ – MB

SHAH ALAM, 20 OKT: ‘Ayuh Merah Kuning semoga mencipta kemenangan di Shah Alam nanti!’.

Demikian seru Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari buat pasukan Red Giant setelah tumpas kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Malaysia, malam tadi.

“Nasib tidak menyebelahi Selangor, serangan bertali arus di separuh masa kedua namun tidak bernasib baik.

“Permainan yang menarik daripada kedua-dua pasukan. Syabas diucapkan,” tulisnya menerusi akaun twitternya.

Terdahulu, JDT berdepan tentangan sengit sebelum berjaya mengatasi Selangor 2-1 pada aksi pertama separuh akhir saingan Piala Malaysia 2019.

Skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi penyerangnya, Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-14.

Kegembiraan pasukan tuan rumah hanya bertahan tiga minit apabila penyerang berbisa skuad Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan pada minit ke-17 sekali gus meniupkan semangat pasukan pelawat, namun kedudukan kekal 1-1 sehingga rehat.

Gol kemenangan JDT disumbangkan pemain import, Leandro Velazquez selepas bekas pemain remaja kebangsaan Argentina itu meledak gol memukau dari luar kotak penalti pada minit ke-49 sekali gus melengkapkan kemenangan pasukan.


Pengarang :