Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Azmin: WKB2030 pacu pertumbuhan ekonomi mampan

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan hari ini menyediakan “turbo charge” untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi serta meningkat kuasa beli rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, WKB2030 adalah pelan induk untuk negara menjana pertumbuhan ekonomi yang rancak dan mencipta kekayaan supaya kemakmuran negara dikongsi bersama.

Beliau berkata, WKB2030 dibentangkan tepat pada masanya tatkala ekonomi global sedang bercelaru dan dilanda suasana ekonomi yang muram dan tidak menentu.

“Kerajaan yakin matlamat wawasan ini akan dicapai melalui peningkatan kepelbagaian ekonomi dengan memberi fokus kepada industri berteknologi dan berimpak tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital dan pertanian berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran WKB 2030 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, WKB2030 adalah satu ikhtiar mempertegas iltizam kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) terhadap pelaksanaan keadilan, kesaksamaan yang merentasi kaum, kelas pendapatan dan wilayah.

“Dalam memburu kecemerlangan industri, kerajaan PAKATAN tidak akan mengabaikan tanggungjawab untuk membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah dan miskin. Wawasan ini menjamin bahawa kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata kestabilan dan keutuhan pentadbiran dalam mempertahankan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban akan memberikan keyakinan kepada pelabur’asing dan domestik untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

“Ini bakal mencipta peluang pekerjaan dalam sektor baharu yang lebih inovatif dan berteknologi tinggi,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata, WKB2030 akan merangsang imaginasi, kreativiti dan keterampilan generasi muda untuk membawa Malaysia ke mercu kecemerlangan industri.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata kerajaan PAKATAN tidak akan mengabaikan tanggungjawab untuk membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah dan miskin dan WKB2030 menjamin bahawa kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati oleh mereka.

Beliau berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan memantau pelaksanaan dan kemajuan WKB2030 untuk memastikan objektif tercapai.

-BERNAMA


Pengarang :