EXCOSELANGOR

Belanjawan 2020 perlu dilaksana secara berhemah

SHAH ALAM, 14 OKT: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga mahu peruntukan Belanjawan 2020 dilaksanakan secara berhemah dan berkesan agar setiap rakyat dapat merasai manfaatnya dalam usaha mencapai kemakmuran bersama.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata, belanjawan yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mampu memanfaatkan pelbagai golongan dan lapisan masyarakat sekali gus membuktikan kerajaan amat menitikberatkan kepentingan rakyat khususnya kepada golongan yang lebih memerlukan.

“Belanjawan bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ ini dilihat bersifat komprehensif.

“Ini kerana ia merangkumi peruntukan berkaitan keluarga, wanita, kebajikan sosial dan pembangunan komuniti, infrastruktur perkhidmatan, penjagaan kesihatan serta liputan penjagaan perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Mariah berkata, menjelang Belanjawan Selangor tidak lama lagi, Kerajaan Negeri akan terus komited menambahbaik keperluan rakyat melalui program dan bantuan sedia ada.

“Walaupun berdepan cabaran ekonomi yang rencam, belanjawan kali ini dijangka lebih bersifat progresif dan mendidik masyarakat,” katanya.


Pengarang :