AGENSISELANGOR

Ban Kunci Air Tongkah pecah

SHAH ALAM, 2 OKT: Ban di Kunci Air Tongkah, Kuala Langat pecah ekoran fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor, awal pagi Isnin lalu.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan, walaupun berlaku kebocoran dan limpahan masuk air laut, namun ia tidak menjejaskan penempatan penduduk.

“Kerja-kerja kecemasan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang segera dilaksanakan dan pasukan dron Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) sudah diarahkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, hasil pemantauan dan maklumat diterima, ketinggian paras air laut direkod mencecah 5.5 meter setakat jam 8.09 pagi tadi.

“Di Kuala Selangor, terdapat limpahan kecil air di Pantai Jeram atas tebing pantai dan jalan raya, namun tidak membabitkan penempatan penduduk.

“Tiada limpahan air melepasi ban atau benteng di daerah lain di pesisir pantai, sebaliknya berada dalam keadaan kukuh dan baik.

“Keadaan selamat, terkawal dan cuaca dilapor baik serta cerah,” kata kenyataan itu.


Pengarang :