Satu lorong sepanjang 100 meter laluan ke Cameron Highlands ditutup akibat tanah runtuh pada 19 Oktober 2019.
AGENDANASIONAL

Banjir landa Perak, laluan ke Cameron Highlands alami tanah runtuh

IPOH, 19 OKT: Satu lorong sepanjang 100 meter ke arah utara di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, ditutup berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di jalan berkenaan, lewat tengah malam tadi.

Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri berkata, kerja-kerja pembaikan cerun jalan di laluan FT185, Seksyen 31.62, di kawasan itu akan dimulakan pada Isnin ini.

“Arahan kerja telah dikeluarkan kepada Syarikat Pintas Utama Sdn Bhd (PUSB) untuk membuat kerja-kerja pembaikan cerun jalan, menggunakan kaedah ‘Terramesh Wall dan Backfill’.

“Kontraktor akan mulakan kerja dengan segera selepas insuran kerja diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan agar pengguna yang melalui jalan itu untuk berwaspada berikutan jumlah kenderaan akan bertambah pada hujung minggu untuk ke naik ke Cameron Highlands.

“Kita akan memastikan pihak yang berkaitan mengambil tindakan segera bagi membendung kejadian buruk berlaku,”katanya.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu telah mengakibatkan tanah runtuh sedalam 20 meter di jalan berkenan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya sedang mencari jalan untuk mengatasi masalah banjir yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini sehingga mengakibatkan kerosakan kediaman penduduk sejak kebelakangan ini.

Katanya, antara lain saliran air dari longkang sehingga ke sungai perlu dijaga dengan baik.

“Janganlah membuang sampah ke sungai sehingga menyebabkan saliran tersumbat dan sebagainya kerana ia akan menyebabkan banjir dengan lebih mudah,” katanya pada sidang media semasa sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2019 peringkat Negeri Perak yang disertai kira-kira 2,000 pengunjung, di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah wang yang tinggi dan berpadanan dengan penjagaan alam sekitar pada tahun depan untuk meningkatkan kesedaran rakyat supaya bersama-sama dalam usaha kerajaan memelihara alam sekitar.

– BERNAMA


Pengarang :