Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud bergambar pada Majlis serahan Didik AnIS dan Bantuan Khas AnIS di Foyer SUK, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 25 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
EXCOSELANGOR

Bantuan AnIS kurang beban keluarga OKU

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan dana lebih RM1 juta untuk bantuan pendidikan dan penjagaan anak-anak istimewa atau orang kelainan upaya (OKU) di Selangor.

EXCO Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Mariah Mahmud berkata, program ini adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu keluarga atau penjaga kepada anak-anak yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, penerima bantuan itu bagaimanapun hanya membabitkan anak-anak istimewa yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Menerusi Program Penajaan Yuran Pendidikan Anak Istimewa Selangor (Didik AnIS), Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan kewangan RM540,000.

“Setiap orang anak istimewa ini menerima bantuan untuk pendidikan RM200 sebulan atau bersamaan dengan RM2,400 untuk setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis serahan bantuan Didik Anis dan Bantuan Khas Anis di Foyer SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADN Dusun Tua, Faizal Yusof.

Pada majlis sama, katanya, sebanyak 14 Pusat Intervensi Awal yang menjaga kanak-kanak OKU turut menerima bantuan yang diperuntukkan Kerajaan Negeri RM500,000.

“Menerusi Bantuan Khas AnIS ini, setiap OKU yang dihantar ke Pusat Intervensi Awal akan menerima bantuan RM5,000 setahun.

“Penerima bantuan ini juga mesti dalam kalangan mereka yang mempunyai kad OKU yang dikeluarkan JKM,” katanya.

Katanya, semalam seramai 36 golongan OKU menerima Bantuan Khas AnIS.


Pengarang :