Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat Malaysia di Queensland.
AGENDANASIONAL

Belanjawan 2020 bantu perkasa diplomat

KUANTAN, 12 OKT: Kementerian Luar akan memberi tumpuan kepada aspek pemerkasaan diplomat menerusi peruntukan RM817.7 juta dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, peruntukan itu yang meningkat sebanyak 3.7 peratus daripada tahun lalu, antara lain akan digunakan untuk Program Pensarjanaan Diplomat dengan memberi bantuan kewangan kepada pegawai melanjutkan pelajaran.

Katanya ia melibatkan peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) secara separuh masa di universiti tempatan terpilih, dengan pegawai yang berminat boleh memohon untuk berbuat demikian secara sukarela.

“Pendekatan ini diambil supaya diplomat kita bukan hanya mahir dalam bidang diplomasi tetapi juga pakar dalam bidang tertentu yang mana kita telah mengenal pasti empat bidang kepakaran yang ingin dibangunkan buat peringkat permulaan.

“Bidang tersebut ialah pengajian China, pengajian India, pengajian Timur Tengah dan pengajian Maritim yang dilihat penting apabila mengambil kira keperluan semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kencing Manis di Dewan Indera Mahkota 2 di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, Malaysia perlu mendalami aspek politik, ekonomi dan sosiobudaya China dan India kerana dua negara tersebut kini merupakan kuasa ekonomi yang besar di Asia.

Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat itu, Wisma Putra akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selain meninjau universiti yang mempunyai kekuatan dalam kursus yang dinyatakan.

Saifuddin berkata, peruntukan yang besar untuk kementerian itu juga bagi menampung kos operasi di luar negara selain perbelanjaan menghadiri persidangan antarabangsa.

“Peruntukan itu juga akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di lebih 100 pejabat perwakilan Malaysia di luar negara yang sudah wajar diganti kerana sudah agak berusia,” katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata peruntukan sebanyak RM85 juta bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor juga menunjukkan komitmen Malaysia untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang berlaku di pintu keluar masuk ke Singapura.

Katanya isu kesesakan Tambak Johor antara sembilan perkara yang dirunding dengan Singapura dan dianggap sebagai aspek yang diberi keutamaan memandangkan setiap hari lebih 300,000 rakyat Malaysia berulang alik ke negara tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :