PENDAPATRENCANA

Belanjawan 2020: Banyak inisiatif kurangkan beban rakyat

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Belanjawan 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat, turut mencadangkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, termasuk golongan petani, pekebun kecil dan nelayan, serta menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka meningkatkan taraf hidup.

Bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama, Belanjawan yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, itu adalah Belanjawan kedua di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

Pembentangan Belanjawan 2020 itu disiarkan secara langsung menerusi siaran media massa, dan saluran-saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan di laman Facebook dan Twitter.

Menurut Lim, Belanjawan Pakatan Harapan pertama yang dibentangkan pada 2018, menumpukan kepada konsolidasi dan rasionalisasi fiskal, reformasi institusi dan dasar berjiwa rakyat bagi memperbetulkan penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang berleluasa di bawah pentadbiran terdahulu.

Belanjawan 2020 pula antara lain menunjukkan komitmen kerajaan untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan kerajaan dan meneruskan matlamat Wawasan 2020 dengan trajektori pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Strategi dan Inisiatif yang dibentangkan hari ini menunjukkan kerajaan responsif kepada kehendak rakyat, yang mahukan inisiatif yang boleh mengurangkan beban kos sara hidup mereka, memberi lebih peluang untuk meningkatkan taraf hidup dan memberi bantuan apabila mereka dilanda musibah.

Hal itu terjelma di bawah Strategi memperkukuh Akses kepada Pembiayaan Perniagaan, yang memudahkan akses kepada pembiayaan untuk PKS dalam segmen utama, dengan kerajaan akan membuat penambahbaikan terhadap Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan (SJPP) selain menyediakan kemudahan jaminan baharu sebanyak RM500 juta untuk usahawan wanita.

Bagi PKS Bumiputera, PKS yang berorientasikan eksport serta PKS yang melabur dalam automasi dan digital, jaminan kerajaan akan dinaikkan daripada 70 peratus kepada 80 peratus, selain yuran jaminan turut dikurangkan kepada hanya 0.75 peratus.

Selain itu, untuk terus menyokong usahawan Bumiputera baharu, SME Bank akan memperkenal dua dana baharu, dengan kerajaan akan menyediakan subsidi kadar faedah dua peratus setahun bagi mengurangkan kos pinjaman, iaitu peruntukan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dengan tawaran pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap PKS, dan peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong PKS yang berpotensi menjadi jaguh serantau dengan keutamaan diberi kepada pengeluar produk halal serta pengeluar produk dengan kandungan tempatan yang tinggi.

Tidak terkecuali menerima bantuan ialah golongan usahawan daripada etnik Cina dan India.

“Berbanding pentadbiran dahulu yang memberikan pinjaman kepada peniaga kecil melalui koperasi yang berunsurkan politik, pentadbiran Pakatan Harapan mengasingkan unsur politik daripada pembiayaan, dengan menyediakan pinjaman sebanyak RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina. Pembiayaan ini akan diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mempunyai lebih 380 cawangan di seluruh negara dengan kadar faedah empat peratus setahun.

“Bagi usahawan etnik India, Kerajaan akan menyediakan pinjaman sebanyak RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India, TEKUN Nasional yang dijangka memberi manfaat kepada 1,300 usahawan India juga dengan kadar faedah empat peratus setahun,” katanya.

Golongan petani turut tidak dilupakan menerusi strategi Memajukan Pertanian, dengan kerajaan menunjukkan keprihatinannya terhadap kesan harga komoditi yang rendah ke atas mata pencarian rakyat, khususnya pekebun kecil.

Sambil menyatakan yang kerajaan kecewa dan hampa dengan kempen anti-minyak sawit yang dilancarkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat, beliau berkata kerajaan berhasrat untuk menyokong industri ini termasuk menerusi pelancaran dana pinjaman penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM550 juta untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah dua peratus setahun.

“Tempoh pinjaman adalah selama 12 tahun termasuk tempoh moratorium selama empat tahun ke atas pembayaran balik. Penanaman semula akan dijalankan menggunakan teknik semaian terkini serta mematuhi piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memastikan produktiviti dan kebolehpasaran yang lebih baik,” katanya.

Kerajaan juga menurut Lim, memahami akan kesukaran yang disebabkan oleh harga getah rendah dan penurunan hasil pada musim tengkujuh dan oleh itu, akan memperuntukkan RM200 juta Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

“Kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada tahun 2020 bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah.

“Di samping itu kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM810 juta khususnya untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA),” kata Lim.

Belanjawan 2020 juga akan menyediakan RM738 juta untuk RISDA dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) untuk melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil RISDA dan 100,000 peserta FELCRA.

Di samping itu, kerajaan telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada RM4.4 bilion untuk 2019 kepada RM4.9 billion untuk 2020, dengan memberi fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian.

Katanya Elaun Sara Hidup Nelayan juga akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM152 juta pada tahun 2020.

Dalam usaha membantu petani, nelayan dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh.

Kerajaan juga berhasrat menjadikan padi pulut sebagai produk perdana Pulau Langkawi bagi meningkatkan pendapatan petani. Bagi menyokong inisiatif ini, Kerajaan akan memperuntukkan RM30 juta untuk penghasilan beras pulut di Pulau Langkawi yang dijangka memberi manfaat kepada 1,200 petani.

“Bagi meningkatkan hasil padi, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan input padi sebanyak RM855 juta bagi tahun 2020 berbanding RM796 juta pada 2019 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP). Di samping itu, Kerajaan juga akan meneruskan subsidi padi bukit atau padi huma,” katanya.

Kerajaan, juga katanya, akan memperuntukkan sebanyak RM43 juta ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi.

Untuk golongan belia pula, kerajaan menyediakan strategi meningkat peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dengan melancarakan pelbagai inisiatif untuk mereka.

-BERNAMA


Pengarang :