EXCO Kerajaan Negeri, Mohd Khairuddin Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Belanjawan 2020: Golongan belia tidak tercicir

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kerajaan Negeri yakin belia tidak akan tercicir sebaliknya terus melipat gandakan usaha untuk memanfaatkan golongan itu menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2020, pada 1 November nanti.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau yakin Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari akan memberi lebih fokus terhadap golongan belia di Selangor.

Katanya, golongan belia juga seharusnya pandai memainkan peranan untuk terus bekerjasama dan mendekati Kerajaan Negeri.

“Jika diikutkan banyak program bersifat pembangunan belia di Selangor namun mereka perlu bijak memainkan peranan dan tidak hanya membiarkan peluang diberikan kerajaan berlalu begitu sahaja.

“Golongan belia juga perlu berusaha untuk memajukan diri mereka sekali gus merebut peluang disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Perasmian Anime dan Gaming One Belt One Road (OBOR) di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Mohd Khairuddin berkata, Selangor juga berusaha mendekati rakyat terutama golongan belia dengan mewujudkan permainan e-sukan yang bukan boleh menambahkan pendapatan sekali gus menguji minda mereka.

Katanya, Selangor antara negeri pertama di Malaysia yang menjayakan permainan e-sukan kerana menganggap permainan itu boleh pergi jauh terutama pada era globalisasi kini.

“Bagaimanapun, saya sentiasa menyokong insiatif Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan program bersifat pembangunan belia,” katanya.


Pengarang :