Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanjawan 2020: Lima negeri dijangka dapat tumpuan khusus

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah dijangka mendapat tumpuan khusus dalam Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan esok.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana ekonomi di lima negeri terbabit masih ketinggalan dan harus mendapat peruntukan sewajarnya bagi menjana pertumbuhan mampan pada masa hadapan.

“Pertumbuhan ekonomi harus terus rancak dan berkembang cepat dengan menyediakan infrastruktur serta prasarana penting seperti hospital sekolah juga lain-lain di kawasan luar bandar.

“Ini kerana antara komponen penting dalam Wawasan Kemakmuran Bersama adalah memastikan merapatkan kesenjangan ekonomi di antara wilayah, kelas pendapatan, kaum dan juga rantaian nilai,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada media pada Persidangan Perniagaan Asean Selangor sempena Perhimpunan Perniagaan Antarabangsa Selangor ketiga di Pusat Perdagangan Antarabangsa & Pameran Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga perlu mendapat perhatian kerajaan bagi melahirkan tenaga kerja muda berbakat dan berkemahiran tinggi.

Beliau turut berharap bidang itu diberi peruntukan besar dalam belanjawan nanti kerana golongan terbabit berpotensi menguasai teknologi baru bagi memenuhi keperluan industri hari ini khasnya pada era Revolusi Industri 4.0.

“Saya berpandangan Belanjawan 2020 penting untuk mengembalikan keyakinan kepada pelabur domestik dan asing bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

“Saya kira perlu diwujudkan beberapa inisiatif untuk memastikan kepenggunaan dapat dipertingkatkan dalam keadaan ekonomi yang lembab pada hari ini,” katanya.


Pengarang :