AGENDANASIONAL

Belanjawan 2020: Pembangunan asas Orang Asal harus diberi tumpuan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Jaringan Kampung Orang Asal Semenanjung Malaysia (JKOAM) berharap kerajaan akan menumpukan kepada pembangunan asas membabitkan masyarakat peribumi di negara ini melalui Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Pengerusinya Tijah Yok Chopil berkata, projek pembangunan asas seperti menyediakan kemudahan air bersih, menaik taraf klinik desa dan membaiki jalan raya harus diberi keutamaan selain penyediaan benih dan baja supaya masyarakat itu dapat menjalankan aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan.

“Tumpukan pada bajet pembangunan sebab pembangunan Orang Asal masih jauh ketinggalan, banyak kampung jalannya rosak, tiada jalan tar, projek terbengkalai dan sebagainya.

“Program seperti sukaneka dan motivasi yang dianjurkan sebelum ini harus dihentikan, ia bukan tidak bagus tetapi dengan keadaan ekonomi negara sekarang kita harus tumpu kepada pembangunan asas Orang Asal dahulu,” katanya.

Tijah turut mencadangkan agar badan pemantau ditubuhkan bagi memantau bajet yang akan diperuntukkan kepada Orang Asal tahun hadapan supaya ia dapat ditadbir urus dengan baik.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM) Clive Allen Williams Hunt berkata, dalam memastikan pembangunan yang harmoni dalam kalangan masyarakat Orang Asal kesemua aspek antaranya ekonomi, kesihatan dan budaya harus diberi perhatian.

Menurutnya, perkhidmatan pembantu perubatan dalam kalangan belia Orang Asal perlu diwujudkan semula selain melantik mereka bagi mengisi jawatan di semua peringkat sama ada secara tetap atau kontrak.

“Inisiatif ini dilihat berkesan, kerana masyarakat Orang Asal dapat menyampaikan maklumat kesihatan menggunakan bahasa suku kaum mereka sendiri…kadang-kadang kita guna bahasa asing mereka kurang faham,” jelasnya.

Tambah beliau, penyediaan dana khusus harus diperuntukkan bagi latihan dan pembangunan sumber manusia belia Orang Asal melibatkan aspek keusahawanan, industri, kemahiran, teknologi dan profesional.

“Dana ini boleh diurus tadbir oleh Jabatan Kemajuan Orang Asal dan disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan belia bagi tujuan penganjuran dan pelaksanaan program pembangunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, MBOAM turut berharap program latihan dan pembangunan kepada orang kurang upaya dalam kalangan masyarakat peribumi itu untuk memperluaskan punca pendapatan turut diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2020.

– BERNAMA


Pengarang :