AGENDANASIONAL

Belanjawan 2020: Rebut peluang peroleh sijil halal

KUANTAN, 20 OKT: Usahawan digesa merebut peluang terhadap peruntukan RM10 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 berhubung pensijilan halal, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) itu boleh membantu usahawan yang sebelum ini gagal mendapatkan pensijilan halal kerana tidak menepati kriteria yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM).

Katanya, dengan memiliki pensijilan halal, usahawan akan memperoleh banyak kelebihan dalam aspek pemasaran produk mereka.

“Memang terdapat banyak kes di mana usahawan gagal memperoleh pensijilan halal kerana mereka tidak menepati syarat yang ditetapkan.

“Peruntukan itu boleh digunakan usahawan untuk membawa perniagaan mereka selangkah ke hadapan dengan menambah baik perniagaan mereka bagi memohon pensijilan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program sambutan Hari Kemahiran dan Keusahawanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Pahang 2019 serta Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) di Serambi Teruntum di sini, hari ini.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta kepada MED bagi khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform kepada peserta pasaran untuk bersaing di pasaran halal antarabangsa yang kini dianggarkan bernilai US$3 trilion.

Terdahulu dalam ucapannya, Fuziah berkata golongan wanita yang keluar daripada sektor pekerjaan kerana ingin menjadi suri rumah boleh kembali bekerja jika mengetahui cara yang betul.

“Biarpun sekadar suri rumah, anda juga boleh berjaya dan menjana pendapatan lumayan. Saya sedar tanggungjawab wanita di rumah amat besar namun ia tidak membataskan keupayaan wanita untuk berjaya dan melangkah lebih jauh.

“Saya beri contoh wanita yang saya temui baru-baru ini yang sudah lama tidak bekerja dalam bidang perakaunan. Saya kata cari syarikat kecil yang tiada akaun dan ambil upah buat akaun mereka di mana satu kedai atau syarikat anda boleh ambil upah RM200, kalau lima kedai sebulan sudah dapat RM1,000,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :