BERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan 2020: Selangor bakal umum beberapa usaha baharu

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri akan mengumumkan beberapa usaha baharu yang dapat membawa kebaikan kepada rakyat, termasuk masyarakat India sempena Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan Jumaat ini, kata Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata, sejak dari awal pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), penduduk di Selangor sebelum ini menikmati manfaat usaha dan inisiatif yang memartabatkan pelbagai aspek.

Katanya, aspek berkenaan termasuk pendidikan, keusahawan, kesihatan dan taraf sosial rakyat di negeri itu.

“Dasar PAKATAN yang bersifat jangka panjang ini bertujuan menjaga kemaslahatan rakyat dan kemampanan fiskal ekonomi negeri serta negara. Perubahan ini hanya dapat disaksikan kejayaannya setelah beberapa tempoh masa berlalu.

“Matlamat pentadbiran ini adalah untuk menaikkan taraf hidup rakyat, sama ada yang berpendapatan rendah mahupun tinggi, termasuk golongan miskin desa juga kota supaya dapat diberi pengupayaan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media sempena sambutan Hari Deepavali, hari ini.

Amirudin berkata, pengorbanan dan keberanian masyarakat India pada 2007 memberikan nafas baharu pada perjuangan rakyat

Malah, katanya, usaha bersama masyarakat Melayu, Cina dan anak semua bangsa selama 11 tahun kebelakangan ini membuka lembaran baharu dalam politik Malaysia.

“Sejarah ini wajar kita hargai supaya matlamat asal perjuangan seluruh warga Malaysia, yakni kepentingan rakyat akan sentiasa diutamakan dalam apa jua keadaan.

“Apabila kebajikan rakyat terbela, akan hadirlah keamanan dan perpaduan yang kemudiannya akan membawa pula kepada kemakmuran buat semua. Inilah yang kita dapat amati dan nikmati di Selangor sejak 2008,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap perayaan Deepavali disambut masyarakat beragama Hindu dan Sikh dapat mengeratkan silaturahim antara rakan taulan serta sanak keluarga.


Pengarang :