BERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan 2020: Selangor terima projek mega

SHAH ALAM, 11 OKT: Selangor menerima lebih RM8 bilion peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk Projek Rel Pintasan Serendah-Pelabuhan Klang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek itu dan Koridor Logistik Klang iaitu lebuh raya logistik baru.

Katanya, projek itu akan dibangunkan khusus untuk menghubungkan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Barat dan rangkaian lebuh raya sedia ada dengan lebih cekap.

“Laporan Daya Saing Global oleh World Economic Forum (WEF) 2018 menunjukkan bahawa infrastruktur pengangkutan laut Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia.

Lim Guan Eng ketika menjawab pertanyaan media selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

“Pelabuhan Klang kini menduduki tangga ke-12 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia dan dijangka mencapai kapasiti penuh dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negara 2020.

Selain itu, Guan Eng berkata, sejumlah RM50 juta juga diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang.

Katanya, kerajaan sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan untuk pembangunan Pulau Carey bagi fasa pertumbuhan seterusnya.

“Ini untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pusat maritim serantau dan hab logistik kargo yang menggabungkan aktiviti pembuatan, pengedaran, penyatuan kargo, stor penyimpanan serta pembaikan kapal,” katanya.

Belanjawan itu turut memfokuskan kerja menaiktaraf Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selain beberapa hospital lain antaranya Hospital Kampar, Hospital Labuan dan Pusat Kardiologi Hospital Queen Elizabeth II di Sabah dengan peruntukan sejumlah RM1.6 bilion.

Bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, Guan Eng turut mengumumkan Kerajaan akan membina sekolah baharu di Hulu Langat.

“Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020. Kerajaan akan membina beberapa sekolah baharu di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang, Tumpat, Marang dan Johor Bahru,” katanya.

Guan Eng berkata, jemaah menteri juga meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART (SMART).

“Pengenalan caj kesesakan iaitu kesesakan pada waktu sekitar puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding kadar tol semasa serta percuma ketika waktu bukan puncak.

“Ini akan menjimatkan pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun atau RM2 bilion sehingga akhir hayat konsesi. Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada,” katanya.


Pengarang :