Amirudin Shari meneliti rekaan model Gerbang Maritim Selangor selepas beliau melancarkan projek itu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 29 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Belanjawan Selangor 2020 pembukaan ke arah WKB2030

SHAH ALAM, 29 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan Belanjawan Selangor 2020 yang bakal dibentangkan pada 1 November ini sebagai pembukaan ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang akan memandu hala tuju dan masa depan negeri itu.

Katanya, belanjawan paling dinantikan seluruh rakyat Selangor itu juga adalah penanda aras baharu untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sekali gus menjadi garis penamat kepada Wawasan 2020.

“Malah, saya percaya belanjawan ini akan menjadi penilaian separuh penggal atau separa daripada Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

“Tahun hadapan (2020), maka kita ada kira-kira lima tahun lagi. Jadi, titik penting ini membabitkan banyak perkara yang akan diberi keutamaan, khususnya untuk mencapai dan memulakan sesuatu yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Maritime Gateaway (SMG) To A Better Tomorrow di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) merangkap Pengerusi Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin.

Amirudin Shari melihat rekaan Taman Rekreasi Paya Bakau terletak di Pelabuhan Klang dalam Pelancaran Gerbang Maritim Selangor berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 29 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Menjawab pertanyaan sama ada belanjawan itu mampu memenuhi segala harapan rakyat, Amirudin berkata, beliau akan melihat kepada keutamaan dan kepentingan suara rakyat memandangkan kependudukan di negeri itu sudah mencecah 6.4 juta setakat ini.

“Tidak kurang daripada 12 sesi ‘townhall’ diatur sebelum kita melahirkan belanjawan ini dan sudah pasti kita melihat daripada pelbagai aspek serta bidang.

“Sebagai Kerajaan Negeri, kita juga mempunyai misi dan visi. Disebabkan itu semua polisi penting sebagai latar belakang untuk belanjawan 2020,” katanya.

Rakyat negeri itu boleh mengikuti laporan Belanjawan Selangor 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula jam 4 petang, Jumaat ini menerusi laman sesawang amirudinshari.com .

Bagi pengamal media pula, mereka boleh memuat turun logo Belanjawan Selangor 2020 mulai hari ini di laman sesawang sama.

Teks ucapan penuh Belanjawan Selangor 2020 boleh dimuat turun di laman sesawang amirudinshari.com bermula jam 5 petang pada hari pembentangan.

Orang ramai juga boleh melayari pembentangan belanjawan itu menerusi www.selangortv.my atau laporan berita melalui portal www.selangorkini.my .

Berita dan perbincangan di internet mengenai peruntukan tahunan itu boleh dilakukan dengan menggunakan tanda pagar #Selangor2020.


Pengarang :