Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari melakukan upacara perasmian memasang bidal air ke paip pada Majlis Pelancaran Menjadi Wira Penjimat Air di Padang Awam Taman Batu Caves, Selayang pada 15 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan Selangor 2020 tawar insentif jimat air

BATU CAVES, 15 OKT: Kerajaan Negeri dijangka menawarkan insentif tambahan kepada pengguna yang berjaya menjimatkan kadar penggunaan air kediaman masing-masing menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2020, November ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, insentif tambahan itu sebagai galakkan pengguna menggunakan air secara berhemah dan bertanggungjawab dalam memastikan kelestarian bekalan air di negeri itu.

Katanya, Kerajaan Negeri berhasrat mengurangkan kadar penggunaan air kepada 180 liter perkapita sehari (LPS) berbanding 222 LPS ketika ini.

“Sasaran ini jika kita dapat kurangkan dalam tempoh setahun atau dua tahun adalah sangat baik.

“Kita mulakan secara individu, kemudian ke pejabat kerajaan dan rumah ibadat, jika dapat kurangkan 20 hingga 25 peratus itu satu pencapaian yang kita harapkan.

“Justeru, bagi menggalakkan usaha ini berterusan kita akan umumkan dalam Belanjawan 2020. Ada insentif tambahan sebagai galakkan penjimatan, kita akan umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran ‘Menjadi Wira Penjimat Air’ (Be A Water Conservation Warrior) Kempen Jimat Air, di Padang Awam, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman.

Pihak Air Selangor Melancarkan Maskot Adiwira pada Majlis Pelancaran Menjadi Wira Penjimat Air di Padang Awam Taman Batu Caves, Selayang pada 15 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Pada program itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menyokong penuh dan menghargai usaha yang dilaksanakan Air Selangor dengan menubuhkan unit khas iaitu Unit Penjimatan Air sejak dua tahun lalu.

Katanya, unit itu ditubuhkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna berhubung kepentingan menjimatkan air dan melaksanakan kempen jimat air yang berterusan.

“Berdasarkan laporan bekalan air di kebanyakan negara, kira-kira satu per empat daripada populasi penduduk dunia kini sedang mengalami keadaan ‘water stress’. Iaitu apabila permintaan air melebihi bekalan.

“Namun, kita bersyukur kerana negeri Selangor dan Malaysia belum tersenarai sebagai negara yang mengalami situasi itu.

“Walaupun kita akui berlaku gangguan bekalan air sementara ekoran beberapa insiden paip pecah serta pencemaran sumber air mentah, kita masih lagi dapat mengatasi masalah ini dan tidak mengalami situasi bekalan air terputus untuk tempoh yang lama,” katanya.

Terdahulu, dua lagi Loji Rawatan Air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dibina.

Kedua-dua loji berkenaan dijangka mula beroperasi akhir tahun ini memastikan bekalan air yang mencukupi dan memenuhi permintaan bekalan sama ada dari pengguna domestik dan industri yang semakin meningkat.


Pengarang :