AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanjawan #Selangor2020 angkat martabat rakyat

SHAH ALAM, 20 OKT: Beberapa anjakan baharu akan diumum melalui Belanjawan #Selangor2020 ke arah merealisasikan agenda mengangkat martabat rakyat dan mencapai status Negeri Pintar Serantau menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam kenyataan berkata gerak kerja di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan daerah adalah sangat penting bagi mencapai hasrat itu.

“2020 akan menjadi tahun untuk kita merangkul kerjasama semua pihak dalam mewujudkan sinergi padu.

“Mudah-mudahan rakyat Selangor terus dimartabat ke tahap terbaik melalui inisiatif penambahbaikan yang akan terus diteroka Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/Daerah dan PBT bersama Dato’ Menteri Besar di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey yang berlangsung dari semalam.

Amirudin berkata, pada program itu beliau meluangkan masa menyampaikan buah fikiran dan amanat kepada semua pegawai daerah, datuk bandar serta yang dipertua PBT di seluruh Selangor.

“Sistem sokongan dari peringkat kepimpinan tertinggi sehingga ke baris hadapan perkhidmatan awam di semua peringkat wajar dimantapkan.

“Saya hargai pandangan semua dalam usaha memperkemas inisiatif yang bakal diumumkan melalui Belanjawan #Selangor2020,” katanya.


Pengarang :