SELANGOR

‘Bicara Tuan Muda’ hasil kreatif kanak-kanak

SHAH ALAM, 16 OKT: Melangkah sahaja masuk ke ruang pameran di Galeri Shah Alam, tanggalkan sebentar minda pengkritik yang sering terbawa-bawa dalam masyarakat kita.

Menghayati dan mendengari bicara-bicara tulus dari hati yang sedang dibentuk melalui pameran Seni Visual Kanak-Kanak 2019, Bicara Tuan Muda mempamerkan 200 karya pelbagai lapisan kanak-kanak terpilih serta tidak bersekolah sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Sabah.

Dari Royal Belum hingga Simohong, pameran itu adalah himpunan karya-karya dan kerja tangan kanak-kanak terpilih seusia 17 tahun ke bawah.

Hasil karya kanak-kanak pendalaman, gelandangan, asnaf yatim piatu dan orang asli dihimpun untuk tontonan umum bermula 7 hingga 25 Oktober.

Pengarah dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Seni Selangor, Prof Dato’ Raja Zahabuddin Raja Yaacob berkata, Bicara Tuan Muda secara kolektifnya membawa maksud penceritaan, luahan perasaan, perbualan, pendapat dan fikiran seseorang kanak-kanak dalam mengharungi kehidupan yang penuh perasaan ingin tahu.

“Panggilan Tuan Muda adalah suatu rangsangan yang berupaya membuatkan mereka bahagia, dihormati dan rasa mulia serta mempunyai keyakinan diri. Dalam kesantunan bahasa, Bahasa Melayu mempunyai sistem penggilan dan sapaan tersendiri.

“Tuan Muda di sini adalah sebagai gelaran positif ke arah menyantuni kanak-kanak sebagai pewaris peneraju masa depan,” katanya pada perasmian pameran itu baru-baru ini.

Raja Zahabuddin berkata, pameran kali ini sedikit berbeza persembahannya kerana menghimpunkan semua bentuk seni visual kanak-kanak dari pelbagai latar belakang dan negeri.

“Usaha murni memasyarakatkan seni dengan memperkenalkan kelas-kelas seni lukis yang mengguna pakai modul ‘Si Kecil Melukis’ dan memberi peluang kepada mereka yang tinggal di pendalaman.

Beliau berkata, kanak-kanak yang dibawa pada pameran itu sangat istimewa dan mempunyai identiti masing-masing.

Walaupun pengaruh keadaan sekitar membuatkan kehidupan setiap hari mereka berbeza, namun beliau berkata, sifat asas sebagai kanak-kanak itu tetap sama.

“Nikmatilah, hasil karya mereka seadanya dengan hati terbuka tanpa mengkritik hasil usaha mereka kerana ia akan merencatkan perkembangan minda kreatif kanak-kanak ini,” katanya.


Pengarang :