Wakil media pelbagai agensi bergambar selepas Kejohonan Tenpin Bowling MSN Selangor bersama Media 2019 yang berlangsung di Alam Lanes, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bowling MSNS-Media kukuh hubungan

SHAH ALAM, 17 OKT: Seramai lebih 50 pengamal media menyertai Kejohanan Tenpin Bowling Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) bersama Media yang berlangsung di Alam Lanes, Aeon Mall, di sini.

Pengarah Eksekutif MSNS, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, kejohanan yang julung kali dianjurkan itu diadakan untuk menghargai pengamal media serta mengeratkan hubungan silaturahim.

Katanya, kejohanan khas itu bagi merealisasikan kesefahaman media dan MSNS yang menjadi tulang belakang dalam melapor aktiviti sukan di Selangor.

Aksi peserta dalam Kejohonan Tenpin Bowling MSN Selangor bersama Media 2019 berlangsung di Alam Lanes, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“MSNS berterima kasih kepada media kerana pembabitan mereka menyampaikan maklumat berkenaan aktiviti sukan.

“Saya harap program seperti ini dapat memperkukuhkan hubungan kerja bersama media,” katanya ketika ditemui.

Hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Generasi Muda MSNS, Jestin Raj Savarimuthu.

Adi Faizal berkata, program berkenaan dijangka  diteruskan pada masa akan datang menerusi pelbagai jenis sukan.

“Saya percaya dalam kalangan media ada bakat yang tersembunyi. Ini salah satu usaha kita untuk mencungkil bakat mereka.

“Kita akan teruskan dan akan kembangkan sukan lain seperti bola tampar dan bola sepak,” katanya.

Pada kejohanan itu pasukan media Majlis Sukan Negara berjaya muncul juara dengan jumlah kejatuhan pin sebanyak 1,613.

Juara berjaya membawa pulang wang tunai RM500 dan piala kejohanan.

Manakala naib juara pasukan Harian Metro dengan jatuhan pin 1,553 (RM300) dan ketiga pasukan Kosmo! dengan jatuhan 1,473 pin (RM200).


Pengarang :