PENDAPATRENCANA

Buah-buahan tanpa biji tidak jejas kesihatan

OLEH DR NAZATUL SHIMA NAHARUDIN

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Biji yang selalunya terbentuk di dalam buah dan apabila tergigit boleh menimbulkan rasa kurang enak, justeru, buah tanpa biji adalah satu ciri yang amat digemari.

Ini terutamanya ketika menikmati buah tembikai, anggur dan pisang. Biji adalah benih hasil dari persenyawaan tumbuhan yang membiak secara seksual dan digunakan untuk penyebaran tanaman untuk generasi seterusnya.

Penghasilan buah-buahan tanpa biji boleh berlaku secara semula jadi, namun ia jarang berlaku kerana biji merupakan struktur penting dalam menentukan kelangsungan spesies tumbuhan.

Oleh kerana ciri tanpa biji berlaku secara semula jadi, pembiak baka tanaman buah-buahan boleh memilih ciri ini sebagai kriteria untuk menghasilkan tanaman yang berkualiti tanpa menggunakan teknik kejuruteraan genetik.

Dr Nazatul Shima Naharudin

Malangnya, dalam pelbagai artikel dan perkongsian dalam media elektronik, buah-buahan tanpa biji seperti tembikai, pisang, dan anggur dihasilkan melalui teknik modifikasi genetic atau GMO (Genetically Modified Organism), dan menyeru pengguna untuk menjauhi dan tidak memakan buah-buahan tanpa biji. Pendapat ini banyak dikongsi sehingga tular dan menyebabkan tersebarnya maklumat yang salah mengenai tanaman tanpa biji.

Seperti yang berlaku dalam setiap sistem tumbesaran tanaman termasuk dalam sistem pembentukan biji benih, setiap langkah biologi yang berlaku haruslah mengikut laluan penghasilan yang khusus.

Sebarang kecacatan atau kompromi yang berlaku dalam proses tersebut boleh mengakibatkan kegagalan penghasilan benih. Ciri tanpa biji bagi tumbuhan adalah sebenarnya adalah ciri yang tidak favourable, kerana tanaman hilang upaya untuk membiak!

Penghasilan buah tanpa biji semula jadi dikategorikan dalam pembiakan partenokarpi. Keadaan ini terjadi apabila buah terbentuk tanpa proses persenyawaan ovul (bahagian organ betina di dalam tumbuhan yang akan terbentuk menjadi benih).

Dalam tanaman sebegini, pendebungaan boleh mengakibat penghasilan hormon untuk merangsang pengembangan dinding ovary untuk menebal dan membentuk buah. Bagaimanapun, proses persenyawaan dan penghasilan benih tidak berlaku dan tiada “kesan benih”. Ciri sebegini ini ada dalam tanaman timun dan anggur dan ia menghasilkan buah yang bersaiz kecil berbanding varieti yang berbiji.

Selain daripada itu, sejenis partenokarpi yang dinamakan stenospermokarpi di mana persenyawaan terjadi dan benih dihasilkan tetapi terbantut, meninggalkan “kesan benih” (benih tanpa isi, selalunya berwarna putih dalam tembikai).

Para pembiak baka varieti buah-buahan tanpa biji mengambil kesempatan di atas fenomena ini dengan mengeluarkan benih yang sedang membentuk sebelum benih digugurkan, seterusnya membiakkan tanaman tersebut secara teknik kultur tisu. Melalui cara ini, baka yang dihasilkan mengekalkan ciri “tanpa biji” dan boleh mewariskan ciri ini.

Gangguan terhadap proses penghasilan benih terjadi kerana beberapa faktor. Bagi tanaman tembikai dan pisang, baka tanpa biji terhasil disebabkan satu fenomena yang dipanggil triploidi, mempunyai tiga set kromosom. Kejadian ini menyebabkan penghasilan gamet yang abnormal kerana mempunyai set kromosom berangka ganjil.

Kebanyakan organisma mempunyai set kromosom dalam bilangan angka genap, menghasilkan sel gamet jantan dan betina yang mempunyai bahan genetik atau DNA yang seimbang.

Dalam tumbuhan triploidi, penghasilan sel gamet tidak melalui pembahagian bahan genetik yang seimbang, mengakibatkan gangguan dalam proses penghasilan benih.

Fenomena triploidi boleh berlaku secara semula jadi, namun ia boleh dihasilkan melalui kacukan induk diploid (dua set kromosom) dengan induk tetraploid (empat set kromosom) untuk menghasilkan baka triploid.

Bagi tanaman tembikai, pendebungaan berbantu harus dilakukan untuk pembentukan buah. Oleh kerana debunga baka triploid adalah steril, varieti tembikai diploid ditanam secara berselang untuk membantu dalam proses pendebungaan bagi menghasilkan buah tembikai tanpa biji, atau berbiji hampa berwarna putih.

Pengeluaran buah tanpa biji secara komersial kini boleh menghasil buah yang mempunyai hasil nutrien dan kandungan gula yang tinggi, saiz buah yang besar dan tempoh kematangan yang cepat.

Kefahaman tentang penghasilan buah tanpa biji adalah satu maklumat yang berguna untuk pengguna supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan tidak berasas. Pengguna boleh menikmati buah-buahan tanpa biji tanpa rasa bimbang risiko GMO kerana ia terhasil daripada proses pemilihan dan pembiak bakaan semula jadi.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Sains Tanaman Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia, dalam bidang kepakaran Pembiakbakaan Tumbuhan dan Sitogenetik

– BERNAMA


Pengarang :