Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bujang lebih 40 tahun, gaji kurang RM2,000 dapat BSH

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Seramai 1.1 juta individu bujang berumur melebihi 40 tahun yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan, layak menerima Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) mulai tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata, orang kelainan upaya (OKU) berumur 18 tahun dan ke atas, dengan pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan, juga layak menerima bayaran BSH.

“Individu bujang berumur 40 tahun ke atas dan OKU layak menerima sebanyak RM300 dan secara automatik menjadi penerima Skim Takaful MySalam secara percuma,” katanya.

Lim berkata, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk BSH pada tahun depan.

Pada 2019, katanya, skim itu telah memberikan manfaat kepada 3.9 juta isi rumah.

 

Lim berkata, secara keseluruhannya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM24.2 bilion di bawah Belanjawan 2020 untuk subsidi dan bantuan sosial, berbanding RM22.3 bilion pada tahun ini.

Katanya, ia termasuk bantuan kebajikan seperti BSH dan subsidi yang berkaitan dengan pertanian, bahan api dan kadar faedah.

– BERNAMA


Pengarang :