AGENDANASIONAL

Bumiputera harus kuasai pertumbuhan ekonomi baharu – MTEM

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) percaya agenda ekonomi Bumiputera akan diperhalusi dalam menjayakan inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dengan sasaran jelas dan mampu dilaksanakan di dalam tempoh waktu yang realistik serta mempunyai impak yang mampan kepada ekonomi Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman, Bumiputera perlu diberi peluang menyeluruh termasuk pemberian insentif, pembangunan kapasiti serta bantuan starategik bagi menguasai penggunaan teknologi tinggi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Tumpuan perlu diberikan agar Bumiputera diberi peluang menguasai sumber-sumber pertumbuhan baharu yang merangkumi ekonomi digital, industri aeroangkasa, pertanian pintar dan perkhidmatan sokongan untuk Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Yazid berkata, kerajaan pada masa sama juga perlu menetapkan satu ukuran baharu bagi mengukur kejayaan ekonomi Bumiputera bagi membantu kerajaan merangka polisi bersesuaian dalam mengatasi jurang pendapatan antara kaum yang semakin melebar ketika ini.

“Ia termasuk nilai-tambah sebagai parameter utama, pendapatan isi rumah, gaji dan pekerjaan, pencapaian pendidikan dan pengagihan intra-kaum,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan WKB2030 berjudul “Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia”, iaitu kerangka hala tuju negara bagi tempoh 2021 sehingga 2030.

– BERNAMA


Pengarang :