AGENDANASIONAL

Bursa ditutup rendah dalam dagangan kecil

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari susulan tekanan jualan selepas didagangkan dalam jajaran kecil pada sesi pagi disebabkan kurangnya petunjuk baharu untuk menarik minat belian.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.03 mata kepada 1,568.90 berbanding 1,570.93 pada penutupan Isnin.

Selepas dibuka 0.66 mata lebih rendah pada 1,570.27, Indeks bergerak antara 1,567.70 dan 1,572.09 di sepanjang sesi pagi.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 375 berbanding 362, manakala 344 kaunter tidak berubah, 936 tidak diniagakan manakala 36 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.30 bilion saham bernilai RM713.81 juta.

Dalam notanya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, kaunter indeks utama mendapati kesukaran untuk memperoleh dorongan yang jelas, untuk keluar daripada trend pergerakan perlahan semasa.

Bagaimanapun secara menyeluruh, saham berharga rendah memperoleh momentum ekoran kehadiran pelabur runcit yang mengambil kesempatan ke atas kedudukan pasaran yang lebih tenang untuk aktiviti berdagang.

“Namun, kami juga berhati-hati memandangkan saham FBM bermodal kecil, FBM ACE dan indeks teknologi sudah pun berada dalam kedudukan terlebih beli dan akan kembali merosot.

“Justeru, kami melihat keadaan turun naik akan lebih ketara dalam jangka sederhana, didorong oleh aktiviti pengambilan untung,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank merosot tiga sen kepada RM8.46, Tenaga susut dua sen kepada RM13.78, manakala Public Bank menokok dua sen kepada RM19.30 dan Petronas Chemicals meningkat satu sen kepada RM7.41.

IHH tidak berubah pada RM5.66.

Bagi kaunter paling aktif, Bumi Armada menambah 1.5 sen kepada 49.5 sen, JCY dan Key Asic menokok satu sen kepada 20 sen dan 7.5 sen, Ucrest meningkat tiga sen kepada 17.5 sen manakala Green Packet warrant tidak berubah pada 32 sen.

Kaunter paling rugi, Nestle, merosot 60 sen kepada RM143.60 manakala kaunter paling untung, Carlsberg, menambah 34 sen kepada RM26.60.

FBM 70 merosot 39.09 mata kepada 14,080.17, Indeks FBMT 100 susut 18.12 mata kepada 11,985.08 manakala FBM Ace menambah 20.60 mata kepada 4,852.01.

Indeks FBM Emas merosot 17.17 mata kepada 11,175.13 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 12.74 mata kepada 11,795.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 38.60 mata kepada 15,182.59, Indeks Perladangan turun 21.72 mata kepada 6,617.75, namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Kewangan meningkat 0.22 mata kepada 152.86.

– BERNAMA


Pengarang :