AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur dalam jajaran kecil pagi ini, menjejaki prestasi bursa serantau selain menunggu penyiaran data pertumbuhan ekonomi China, sebagai petunjuk arah tuju pasaran, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.92 mata kepada 1,573.58 berbanding 1,574.50 pada penutupan Khamis.

Indeks penanda aras dibuka 1.78 mata lebih rendah pada 1,572.72.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 156 berbanding 128, manakala 207 kaunter tidak berubah, 1,512 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 331.47 juta saham bernilai RM138.28 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, kedudukan pasaran kekal bercampur-campur dengan peserta pasaran dilihat ragu-ragu memandangkan tidak banyak petunjuk menarik mengenai pasaran.

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun minat belian terpilih tekanan jualan lemah ketika ini yang membantu menyediakan beberapa langkah kestabilan kepada pasaran yang suram.

Ia juga menjangkakan pasaran saham Malaysia akan mengakhiri minggu ini pada kedudukan yang lebih kukuh disebabkan penurunan tekanan jualan, yang juga membolehkan indeks utama meningkat lebih tinggi kepada paras 1,570 hingga 1,580 selepas kedudukan terlebih jualan.

“Di tengah-tengah proses pembangunan asasnya, kami menjangkakan keadaan pasaran secara menyeluruh kekal bercampur-campur disebabkan oleh pertemuan aktiviti pengambilan untung dan kegiatan membeli semasa harga rendah yang juga boleh mengekalkan peningkatan dalam tempoh terdekat pada tahap sederhana ketika ini.

Sementara itu, paras sokongan masing-masing antara 1,566 dan 1,550 mata,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM8.54, Public Bank naik empat sen kepada RM19.32, Tenaga susut lapan sen kepada RM13.68, Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM7.31 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.74.

Kaunter paling aktif, Waran Green Packet, Bumi Armada dan Sapura Energy masing-masing meningkat setengah sen kepada 32.5 sen, 44.5 sen dan 28 sen, KNM Group dan warannya menokok 1.5 sen kepada 46 sen dan 19.5 sen manakala MYEG susut enam sen kepada RM1.19.

Indeks FBM Emas merosot 3.44 mata kepada 11,206.33, Indeks FBMT 100 turun 4.57 mata kepada 11,020.97 dan FBM Ace susut 27.08 mata kepada 4,767.58.

FBM 70 menambah 1.70 mata kepada 14,138.87 dan Indeks Syariah FBM Emas meningkat 1.70 mata kepada 11,842.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.27 mata kepada 15,224.78, Indeks Perladangan merosot 0.06 mata kepada 6,720.09 manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Industri susut 0.19 mata kepada 152.19.

-BERNAMA


Pengarang :