AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah hari ini dan meneruskan penyusutan ketara selama dua hari berturut-turut yang menyaksikan indeks utama itu mencecah paras terendah dalam tempoh empat tahun, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.53 mata kepada 1,561.59 daripada 1,574.90 pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.23 mata lebih rendah kepada 1,563.89.

Namun, di pasaran yang lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 158 berbanding 82 manakala 146 kaunter tidak berubah, 1,600 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 88.75 juta saham bernilai RM50.41 juta.

Mengulas perkembangan itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pemulihan dijangka berlaku dalam tempoh terdekat yang mendorong indeks penanda aras itu mengakhiri dagangan minggu ini secara lebih positif.

“Kami menjangkakan sebahagian daripada dorongan itu adalah bersumberkan keuntungan semalaman dicatatkan Wall Street manakala aktiviti jualan ketara di FBM KLCI juga boleh menyumbang dari segi aktiviti belian saham berharga rendah yang dapat memacu peningkatan indeks tersebut.

“Bagaimanapun, peningkatan semula itu lebih bersifat sederhana kerana masih wujud kebimbangan mengenai hala tuju pasaran. Pada masa ini, minat terhadap pasaran kekal tipis dengan aktiviti belian baharu dijangka terhad dengan keuntungan yang tidak pasti di masa akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu berkata, sasaran jangka terdekat ditetapkan pada tahap sekitar 1,572 dan 1,580 manakala paras sokongan pada 1,557 dan 1,550.

Saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.50, Tenaga tidak berubah pada RM13.58, PBBank untung 10 sen kepada RM19.38, PChem susut 15 sen kepada RM7.32 manakala IHH menokok tiga sen kepada RM5.70.

Bagi saham aktif, VSolar dan MTAG masing-masing naik setengah sen kepada lapan sen dan 44 sen manakala Foundpac menokok satu sen kepada 42 sen.

Indeks FBM Emas susut 7.70 mata kepada 11,069.59, Indeks FBMT 100 turun 8.77 mata kepada 10,897.82 dan Indeks Syariah FBM Emas merosot 2.16 mata kepada 11,663.67.

FBM 70 pula meningkat 25.54 mata kepada 13,820.42 namun FBM Ace berkurangan 32.75 mata kepada 4,522.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 28.39 mata kepada 15,050.95, Indeks Perladangan susut 50.21 mata kepada 6,586.07 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian kehilangan 0.99 mata kepada 151.18.

– BERNAMA


Pengarang :