AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan kekurangan pemangkin

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Bursa Malaysia meneruskan penurunan pada Jumaat lepas untuk dibuka rendah hari ini berikutan kekurangan pemangkin pasaran.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.06 mata kepada 1,568.09 daripada 1,571.15 ketika ditutup pada Jumaat, selepas dibuka 2.37 mata lebih rendah kepada 1,568.78.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, situasi pasaran yang lebih lemah berbanding jangkaan pada Jumaat lepas mendorong indeks utama mengalami penyusutan lagi dan menjadikan pasaran tidak begitu baik.

“Keadaan pasaran keseluruhan bagi permulaan minggu ini mungkin tidak banyak berbeza memandangkan ketidaktentuan masih ketara buat masa ini,” katanya.

Keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 131 berbanding 117, manakala 185 kaunter tidak berubah, 1,584 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 79.80 juta saham bernilai RM35.82 juta.

Bagi prospek pasaran hari ini, Malacca Securities menjangkakan persekitaran pasaran bercampur-campur dengan indeks wajaran tinggi terus mengalami penurunan.

“Saham berharga murah dan saham pasaran meluas mungkin terus mencatatkan prestasi kukuh pada awal minggu ini, memandangkan minat bergilir-gilir masih positif yang boleh menarik penyertaan runcit.

“Bagaimanapun, kami juga berpandangan akan ada aktiviti pengambilan untung berterusan segera yang boleh mengekang kenaikan jangka terdekat,” menurutnya.

Firma itu menjangkakan indeks utama berpotensi terperangkap dalam jajaran kecil antara paras 1,568 dan 1,577, yang menjadi aliran pergerakannya semasa beberapa sesi dagangan lepas, manakala paras sokongan dan rintangan masing-masing pada 1,562 dan 1,580.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.52, Tenaga kurang empat sen kepada RM13.76, Public Bank susut dua sen kepada RM19.26, manakala Petronas Chemicals dan IHH masing-masing turun tiga sen kepada RM7.35 dan RM5.64.

Bagi saham aktif, MTAG naik satu sen kepada 52 sen, IFCA MSC menokok 1.5 sen kepada 37.5 sen, NetX turun setengah sen kepada dua sen manakala Green Packet-WB dan Widad-WA masing-masing tidak berubah pada 32.5 sen dan 10 sen.

FBM 70 kurang 37.69 mata kepada 14,084.07, Indeks FBMT 100 turun 23.28 mata kepada 10,981.52 namun FBM Ace meningkat 24.28 mata kepada 4,807.52.

Indeks FBM Emas menguncup 21.34 mata kepada 11,168.40, dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 24.18 mata kepada 11,777.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 29.02 mata kepada 15,245.61, Indeks Perladangan kurang 3.79 mata kepada 6,620.94 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri susut 0.30 mata kepada 152.26.

– BERNAMA


Pengarang :