AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit hari ini didorong aktiviti belian semasa harga rendah secara sederhana selepas aktiviti jualan baru-baru ini, serta selari dengan pasaran ekuiti semalaman Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.13 mata kepada 1,585.04 daripada 1,583.91 pada Isnin.

Indeks dibuka 1.03 mata lebih tinggi pada 1,584.94.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 108 berbanding 90, manakala 170 kaunter tidak berubah, 1,589 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 94.89 juta saham bernilai RM29.42 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, walaupun prestasi semalaman di Wall Street lebih baik, persekitaran pasaran secara menyeluruh di Bursa Malaysia kekal berhati-hati kerana kebanyakan peserta pasaran tidak pasti dengan hala tuju disebabkan kekurangan perkembangan dalam pasaran ekuiti Malaysia.

“Oleh itu, trend itu dijangka berterusan buat masa ini berikutan minat pasaran juga kekal kurang memberangsangkan.

“Di FBM KLCI, kami jangka ia akan terus berlegar pada paras 1,580 dan 1,590 dalam waktu terdekat. Selain daripada paras di atas, paras sokongan dan paras rintangan yang lain masing-masing pada 1,572 dan 1,600,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM8.57, PBBank turun dua sen kepada RM20.06, Tenaga susut empat sen kepada RM13.60, PChem merosot tiga sen kepada RM7.51 manakala IHH naik satu sen kepada RM5.69.

Bagi saham aktif, Sapura Energy dan Borneo Oil masing-masing turun setengah sen kepada 27.5 sen dan 4.5 sen manakala Seacera naik satu sen kepada 25.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 5.62 mata kepada 11,209.33, Indeks FBMT 100 menokok 5.87 mata kepada 11,043.70, namun Indeks FBM Emas Shariah turun 0.93 mata kepada 11,767.49.

FBM 70 menyusut 0.71 mata kepada 13,932.36 manakala FBM Ace naik 7.31 mata kepada 4,502.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 29.23 mata kepada 15,338.95, Indeks Perladangan naik 15.36 mata kepada 6,735.88, namun Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian susut 0.24 mata kepada 153.04.

– BERNAMA


Pengarang :