AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dijangka diniaga dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara paras 1,560 dan 1,580 minggu depan dengan indeks utama mengekalkan kedudukannya menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari bermula 29 Oktober.

Meskipun peserta pasaran masih menunggu lebih banyak hala tuju pelaburan, mesyuarat FOMC akan dapat membantu menyediakan petunjuk pasaran kepada pasaran Amerika Syarikat (AS) yang secara tidak langsung memberikan lebih banyak kejelasan kepada pasaran tempatan, kata Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew.

“Selain daripada itu, di pasaran tempatan terdapat jangkaan daripada musim pendapatan korporat, apabila syarikat akan mengumumkan keputusan suku ketiga mereka yang berakhir pada 30 September, 2019, pada November, terutamanya selepas pertengahan bulan dan seterusnya.

“Kita akan mendapat lebih banyak petunjuk daripada situ. Tetapi minggu depan masih terlalu awal kerana tidak banyak keputusan akan dikeluarkan lagi, jadi pada minggu depan indeks dijangka kekal pada kedudukannya, tidak banyak berubah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan menjangka pasaran domestik kekal lemah kerana aktiviti pelaburan domestik dijangka terjejas oleh kelembapan pertumbuhan global dan ketidakpastian yang berterusan dalam pertikaian perdagangan antara AS-China serta perjanjian Brexit dan peningkatan ketegangan geopolitik di Hong Kong.

“Inflasi lemah dan aktiviti ekonomi tempatan yang menyederhana juga membayangkan kemungkinan satu lagi penurunan kadar faedah utama oleh Bank Negara Malaysia semasa mesyuarat akhirnya (Jawatankuasa Dasar Monetari) bagi tahun ini pada 5 November,” katanya.

Dari segi teknikalnya, Nazri Khan berkata, paras sokongan berada pada 1,570 mata, diikuti paras 1,530 mata.

“Sebaliknya, paras ketahanan kita berada sekitar 1,600 mata dan paras ketahanan seterusnya diunjur pada 1,660 mata,” katanya.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin, 28 Oktober, sempena cuti umum Perayaan Deepavali yang jatuh pada 27 Oktober.

Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI turun 1.15 mata kepada 1,570.0 daripada 1,571.15 sebelumnya.

Dagangan di bursa tempatan kebanyakannya lengang berikutan kekurangan petunjuk baharu dan seiring dengan prestasi lemah pasaran serantau.

Indeks FBM Emas turun 29.29 mata kepada 11,160.45, Indeks FBMT 100 susut 33.16 mata kepada 10,971.64 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 2.65 mata kepada 11,798.58.

FBM 70 jatuh 323.19 mata kepada 13,798.58 tetapi Indeks FBM Ace meningkat 87.87 mata kepada 4,871.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 128.28 mata kepada 15,146.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.53 mata kepada 153.09 dan Indeks Perladangan meningkat 11.18 mata kepada 6,635.91.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 12.64 bilion unit bernilai RM8.35 bilion daripada 13.96 bilion unit bernilai RM9.91 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 8.06 bilion saham bernilai RM7.31 bilion daripada 8.83 bilion saham bernilai RM8.82 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.63 bilion unit bernilai RM309.57 juta daripada 1.80 bilion unit bernilai RM320.46 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 2.94 bilion saham bernilai RM727.25 juta daripada 3.33 bilion saham bernilai RM770.65 juta sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :