AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dijangka teruskan pemulihan minggu depan

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Bursa Malaysia dijangka meneruskan pemulihan dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) menyaksikan limpahan positif daripada faktor luaran, terutama daripada Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada Jumaat.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Philip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata susulan penutupan semalaman Wall Street yang lebih tinggi, FBM KLCI sepatutnya pulih bersandarkan harapan kepada beberapa konsesi daripada rundingan perdagangan, selain keyakinan terhadap sektor terpilih hasil daripada Belanjawan 2020.

“Dari segi asas, jumlah pegangan hutang kerajaan asing meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada RM189.1 bilion, memandangkan pelabur asing menjadi pembeli bersih sekuriti hutang Malaysia pada bulan September,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata bahagian jumlah pegangan asing hutang Malaysia tidak berubah buat dua bulan berturut-turut pada 12.7 peratus, manakala jumlah hutang terkumpul meningkat kepada RM3 bilion pada September.

“Bagaimanapun, pasaran modal mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM0.3 bilion dalam dana asing meskipun terdapat ketidakpastian dalam ekonomi global,” kata Nazri.

Beliau berkata stok minyak sawit Malaysia pada September meningkat 9.3 peratus kepada 2.448 juta tan berbanding 2.241 juta tan pada Ogos.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia, stok minyak sawit mentah dan pengeluaran meningkat masing-masing sebanyak 4.84 peratus dan 1.15 peratus.

Sementara itu, eksport minyak sawit dan oleokimia mencatatkan penurunan sebanyak 18.77 peratus dan 13.77 peratus.

Untuk masa hadapan, Nazri berkata bank Dunia mengulas bahawa risiko terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia terus cenderung ke arah penurunan, dengan unjuran penurunan yang lebih besar dalam ekonomi utama selain perang perdagangan yang berlanjutan, yang boleh menjejaskan permintaan eksport negara dalam jangka masa terdekat.

“Kami menjangkakan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam ekonomi global boleh menjurus kepada sentimen perniagaan yang lebih lemah di pasaran domestik.

Belanjawan 2020 dapat memberi kesan positif ke atas pasaran kerana kami menjangkakan ia akan pulih pada masanya bersandarkan rangsangan. Cadangan saham minggu ini ialah MISC Bhd dari sektor pengangkutan & logistik dan Wah Seong Corporation Bhd untuk sektor tenaga. .

Pada Jumaat, Bursa Malaysia ditutup 4.97 mata lebih tinggi susulan sambutan positif ke atas pembentangan Belanjawan 2020.

Berasaskan minggu ke minggu, FBM KLCI merosot 0.83 mata kepada 1,556.84 daripada 1,557.67 minggu lepas.

Indeks FBM Emas meningkat 29.29 mata kepada 11,077.81, Indeks FBMT 100 menambah 21.11 mata kepada 10,895.44 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 69.75 mata kepada 11,716.37.

FBM 70 menokok 137.49 mata kepada 13,943.97 dan Indeks FBM Ace meningkat 109.84 mata kepada 4,619.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 7.06 mata kepada 14,990.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.83 mata kepada 150.43, manakala Indeks Perladangan menguncup 27.09 mata kepada 6,540.89.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 11.13 bilion unit bernilai RM7.86 bilion daripada 9.73 bilion unit bernilai RM7.26 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 6.72 bilion saham bernilai RM7.01 bilion berbanding 5.83 bilion saham bernilai RM6.59 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.77 bilion unit bernilai RM299.98 juta berbanding 1.44 bilion unit bernilai RM283.57 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.62 bilion saham bernilai RM547.00 juta daripada 2.44 bilion saham bernilai RM386.34 juta.

-BERNAMA


Pengarang :