AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari dipacu sentimen lebih baik

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari ini, selari dengan prestasi bursa serantau, dipacu sentimen semalaman lebih baik di Wall Street, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.49 mata kepada 1,585.40 daripada 1,583.91 pada Isnin.

Indeks dibuka 1.03 mata lebih tinggi pada 1,584.94, bergerak antara 1,583.84 dan 1,588.82 sepanjang sesi dagangan pagi.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh juga positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 303 berbanding 220, manakala 311 kaunter tidak berubah, 1,123 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 943.88 juta saham bernilai RM464.69 juta.

Maybank IB Research berkata, penanda aras indeks dijangka selaras dengan paras sokongan segera pada 1,580 dengan kemungkinan melantun semula pada kadar kecil.

Dari segi teknikal, katanya, jumlah dagangan saham melebihi garis purata bergerak eksponen (EMA) 50 hari mereka telah menurun daripada garis pada 14 minggu lepas, manakala jumlah dagangan saham melepasi garisan EMA 200 hari mereka juga menurun, daripada 12 kepada 11.

“Di sebalik sentimen tidak menentu, kami menjangkakan penanda aras indeks akan dapat menyerap tekanan jualan yang berlaku pada paras semasa — buat masa ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM8.57, PBBank dan Tenaga masing-masing susut dua sen kepada RM20.06 dan RM13.62, PChem turun empat sen kepada RM7.50, manakala IHH dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM5.68 dan RM5.03.

Bagi saham aktif, Eduspec jatuh satu sen kepada tiga sen, Bumi Armada tidak berubah pada 32.5 sen dan MNC menokok setengah sen kepada tujuh sen.

Indeks FBM Emas meningkat 11.22 mata kepada 11,214.93, Indeks FBMT 100 naik 10.34 mata kepada 11,048.17 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 4.29 mata kepada 11,772.72.

FBM 70 meningkat 12.94 mata kepada 13,946.02 dan FBM Ace naik 19.43 mata kepada 4,514.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 37.19 mata kepada 15,346.91, Indeks Perladangan naik 19.50 mata kepada 6,740.02, namun Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian susut 0.15 mata kepada 153.13.

– BERNAMA


Pengarang :