Khairuddin Othman menunjukkan baju Konsert Selangor Youth Republic 2019 ketika Sidang Media Karnival Belia Selangor Youth Republic (SYR) berlangsung di Bangunan SUK Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Butterfingers bakal meriahkan Karnival S-Youth Republic@Selangor

SHAH ALAM, 15 OKT: Kumpulan indie terkenal, Butterfigers adalah antara tarikan utama pada Karnival S-Youth Repbulic@Selangor (SYR) yang akan bermula pada 1 hingga 3 November ini.

Kumpulan yang popular dengan genre muzik rock dan grunge lewat 90-an itu dianggotai Emmett (vokal), Kadax (bas), Loko (dram) dan LoQue (vokal/gitar/papan nada).

Menariknya kali ini, kesemua ahli indie akan kembali bersatu untuk beraksi di Konsert SYR yang dijadual berlangsung pada 2 November 2019 di Stadium Malawati di sini.

Khairil Ridzwan Anuar. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pemain gitar utamanya, Khairil Ridzwan Anuar atau lebih pupular disapa Loque berkata, beliau dan ahli kumpulannya berbesar hati memeriahkan karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Selangor.

“Kami mempunyai ramai peminat di Selangor, jadi anggaplah ini hadiah daripada kami buat anda.

“Persembahan kali ini dijadual berlangsung lebih dari dua jam kerana kami benar-benar mahu memuaskan hati peminat yang mungkin sudah lama ternanti-nanti kehadiran Butterfingers setelah lama tidak bergabung di atas pentas,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini ketika sidang media Karnival S-Youth Repbulic@Selangor di Foyer Bangunan SUK, hari ini.

Hadir sama EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairudddin Othman, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri, Adi Faizal Ahmad Tarmizi dan Pengarah Urusan SmartSel Sdn Bhd, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.

Selain Butterfingers, beberapa kumpulan muzik lain turut dijadual memeriahkan Konsert SYR antaranya kumpulan Disko Santan, Toko Kilat, Iqbal M, Loko Band, Margasatwa, Duckhead, The Mash dan Hacktick.


Pengarang :