Muhammad Helmi Firdaus mencuba kerusi roda bermotor sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) ketika Program CSR Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) di Pangsapuri Enggang, Puchong pada 22 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNAGENSISELANGOR

Cacat bukan penghalang untuk meminati bidang sukan

OLEH ALIFF HAIKAL

PUCHONG, 22 OKTOBER: Walaupun dilahirkan dalam serba kekurangan, namun ia bukan penghalang buat Muhammad Helmi Firdaus Abdul Halid, 22, untuk meminati bidang sukan bina badan.

Anak bongsu kepada tiga beradik itu berkata, dia memasang impian untuk menceburi sukan itu sejak kecil lagi.

“Saya menyimpan impian untuk menceburi bidang sukan bina badan bagi kategori paralimpik sejak kecil lagi kerana selalu menonton acara sukan paralimpik di televisyen.

“Jika diberi peluang, saya pasti akan setuju dan berusaha keras untuk menjadi atlet paralimpik dan membantu ringankan beban keluarga,” katanya kepada SelangorKini.

Dia ditemui selepas sesi penyerahan kerusi roda bermotor, di rumahnya di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6, di sini hari ini.

Sumbangan daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu disampaikan Ketua Pegawai Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali dan turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Sementara itu, Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai sukan untuk diceburi atlet paralimpik.

“Antara sukan itu ialah angkat berat, memanah dan boling.

“Kita akan memberi peluang jika Helmi benar mahu menceburi bidang sukan namun dia harus memilih sukan yang diminatinya,” katanya.


Pengarang :