AGENDA NASIONAL

Caj kesesakan galak warga kota guna pengangkutan awam

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pengenalan caj kesesakan dapat menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang ketika waktu puncak selain mengurangkan jumlah kereta persendirian yang memasuki kawasan bandar.

Timbalan Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) Universiti Teknologi Mara Dr Shahrin Nasir berkata, kebanyakan negara-negara maju yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi sudah mengamalkan kadar caj itu bagi mengurangkan kenderaan di atas jalan raya.

“Kebiasaannya sistem pengangkutan awam mereka sangat efisien terutamanya daripada segi ketepatan masa dan kekerapan tren serta bas yang tiba kerana ketika waktu puncak jumlah penumpang sangat ramai.

“Kerajaan seharusnya pada masa yang sama perlu menggalakkan operator untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam mereka supaya dapat menampung jumlah penumpang yang ramai pada waktu puncak.

“Selain itu, kadar bayaran parkir di kawasan-kawasan bandar juga perlu dinaikkan bagi mengurangkan kemasukan kenderaan persendirian ke kawasan bandar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu kadar yang sama dengan kadar tol semasa pada waktu puncak selama enam jam sehari, manakala kadar tol akan dihapuskan pada luar waktu puncak.

Penyediaan sehingga 500 bas elektrik di bandar-bandar terpilih seluruh negara pula menunjukkan kerajaan komited dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan mobiliti bukan sahaja terhadap masyarakat bandar tetapi juga di luar bandar.

“Pengumuman peruntukan RM85 juta bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta pembinaan Rapid Transit System Link (RTS) juga memberi kelegaan kepada mereka yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura sekali gus dapat mengurangkan kesesakan,” katanya.

Dalam Belanjawan 2020, Guan Eng mengesahkan projek RTS antara Johor Bahru dan Singapura akan diteruskan, namun tiada sebarang anggaran masa bila ia akan disambung semula.

RTS adalah projek rel sepanjang 4 km yang akan dibina untuk laluan rentas antara Bukit Chagar di Johor Bahru hingga ke Woodlands di Singapura, dengan kapasiti penumpang seramai 10,000 orang dalam masa satu jam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl berkata, pembentangan Belanjawan 2020 kali ini dilihat lebih tertumpu manfaatnya kepada pengguna kenderaan persendirian dengan pengurangan kadar tol dan pemberian subsidi petrol.

“Hala tuju kerajaan dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan persendirian adalah sangat dipersoalkan… Kenapa masih menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam tetapi dalam masa yang sama mengurangkan kadar tol dan subsidi petrol kepada kenderaan persendirian?

“Ia bukan sahaja menambah kesesakan malah turut menyumbang pencemaran udara,” katanya.

Katanya selain mengekalkan pas bulanan pengangkutan awam, kerajaan harus menitikberatkan terhadap nasib pemandu E-hailing dengan memberi subsidi petrol kepada mereka.

“Selain itu, ‘Public Transport Tariff Review Committee’ perlu ditubuhkan bagi mengkaji kadar tarif tiket pengangkutan awam serta Tribunal Pengangkutan Awam bagi sebarang aduan sama ada daripada pemandu ataupun penumpang,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, Lim berkata kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta di bandar terpilih seluruh negara bagi menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau.

-BERNAMA


Pengarang :