Mohd Khairuddin Othman ketika merasmikan CPSTI, di UNISEL kampus Bestari Jaya, baru-baru ini.
EXCOSELANGOR

CPSTI bantu warga pendidik bentuk murid secara holistik

BESTARI JAYA, 2 OKT: Konferensi Transformasi dan Inovasi Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan (CPSTI) berupaya membantu warga pendidik di Selangor untuk melonjakkan kualiti pedagogi pendidikan abad ke-21 ke arah pembentukan murid secara holistik.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, program julung kali anjuran Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sunway dan SMK Seksyen 19 Shah Alam itu sebagai wadah untuk pendidik bertukar pandangan serta inovasi baharu dalam pembelajaran.

Katanya, konferensi bertemakan ‘Eksplorasi STREAM Menjana Inovasi PdPc Pemangkin Kemajuan Murid’ itu juga menjadi pemudahcara yang selari dengan perkembangan sains dan teknologi semasa.

“Program seperti CPSTI memberi peluang terbaik kepada pendidik untuk menghasilkan lebih ramai pelajar yang holistik, kreatif dan berinovatif.

“Saya yakin segala input sepanjang program ini dapat membantu warga pendidik dan pelajar sekolah untuk terus berinovasi dalam usaha untuk melahirkan individu yang berdaya saing di pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan CPSTI, di UNISEL kampus Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini yang turut dihadiri Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Konferensi selama dua hari berjaya menghimpunkan kira-kira 900 peserta terdiri dalam kalangan warga pendidik dan pelajar sekolah menengah dari seluruh Selangor.

Mohd Khairuddin Othman
selepas merasmikan Konferensi Transformasi dan Inovasi Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan (CPSTI) di UNISEL kampus Bestari Jaya baru-baru ini.

Selaras dengan usaha mendapatkan penarafan kebangsaan demi melonjakkan kualiti pedagogi pendidikan abad ke-21, program terbabit juga disertai kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, JPN Wilayah Persekutuan, JPN Melaka, JPN Johor dan JPN Negeri Sembilan.

Sementara itu, Mohammad Redzuan menyifatkan program berkenaan sebagai landasan kepada golongan muda untuk menggali dan membangunkan segala potensi yang dimiliki pelajar.

“Hal ini supaya ia dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, malahan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Terdahulu, pengisian program bertumpu kepada pembentangan daripada beberapa wakil agensi pendidikan seluruh negara antaranya ‘Leadership in Trust School’ yang disampaikan Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat, Md Said Md Daimon.

Forum bertajuk ‘Peranan Pemegang Taruh dalam Pembangunan Pendidikan Murid’ pula disampaikan tiga panel iaitu Ahmad Ismail, Dr Kasuma Satria Mat Jadi dan Hashim Anang juga menjadi tumpuan peserta pada hari kedua persidangan.


Pengarang :