Lim Guan Eng. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cukai individu berpendapatan lebih RM2 juta dinaik ke 30 peratus

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun peningkatan dua mata peratusan dikenakan ke atas cukai pendapatan bagi pendapatan dikenakan cukai melebihi RM2 juta, namun kadar itu masih antara yang terendah di rantau ini.

Beliau berkata, kadar baharu itu dicadangkan oleh Bank Dunia, namun pada kadar yang lebih tinggi iaitu 35 peratus.

“Walaupun, dinaikkan kepada 30 peratus, kita masih antara yang paling rendah (berbanding negara jiran),” katanya pada Forum Belanjawan 2020, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan percaya kenaikan itu mampu ditanggung oleh pembayar cukai terlibat.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada Jumaat lalu, Lim bekata, bagi memastikan strukur percukaian individu yang lebih berstruktur, kadar baharu dicadangkan ke atas pendapatan bercukai melebihi RM2 juta, meningkat dua mata peratusan kepada 30 peratus berbanding 28 peratus kadar semasa.

Peningkatan ini memberi kesan ke atas kira-kira 2,000 individu berpendapatan tinggi dalam negara.

Forum Belanjawan 2020 anjuran bersama Malayan Banking Bhd, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd dan RHB Banking Group itu bertujuan menyediakan platform untuk pegawai kerajaan, pakar industri dan koprorat untuk berkongsi pandangan dan jangkaan mereka susulan pembentangan Belanjawan 2020.

– BERNAMA


Pengarang :