AGENDANASIONAL

CVSKL tawar ujian jantung percuma hingga Disember ini

SHAH ALAM, 2 OKT: Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) menawarkan ujian elektrokardiogram (EKG) percuma kepada 3,000 orang awam sempena Kempen Kesihatan Jantungnya, yang dilancarkan baru-baru ini.

Pengerusi CVSKL, Tan Sri Dr Yahya Awang berkata, program yang mendapat kerjasama rangkaian klinik swasta Qualitas Health itu bermula dari 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

Katanya, rakyat Malaysia berumur 40 tahun ke atas boleh terus menjalani ujian berkenaan di 10 klinik Qualitas terpilih di sekitar Lembah Klang.

“EKG memberi fokus kepada mereka yang mempunyai penyakit kardiovaskular terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, selain disebabkan olen kolesterol tinggi, darah tinggi serta Indeks Jisim Badan tidak normal.

“Kami dapati ramai pesakit terdiri daripada mereka yang masih muda dan di Malaysia umur 58 tahun adalah purata usia bagi penyakit jantung.

“Hal ini sangat membimbangkan kerana usia purata bagi pesakit jantung pada usia muda di negara lain seperti Thailand (65), Singapura (61), manakala Amerika Syarikat (66),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Kempen Kesihatan Jantung anjuran CVSKL dan Kumpulan Perubatan Qualitas yang turut dihadiri Pengerusi Qualitas Healthcare, Datuk Dr Noorul Ameen Mohamed Ishack.

Mengulas lanjut, Yahya berkata, Kementerian Kesihatan menyenaraikan penyakit jantung sebagai penyebab utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia pada 2005 hingga 2017.

Katanya, keadaan tambah membimbangkan apabila purata usia penghidap penyakit jantung akan jauh lebih muda walaupun pelbagai inisiatif dijalankan bagi mengesan dan merawat penyakit terbabit.

“Ia berpunca daripada gaya hidup tidak sihat rakyat di negara ini. Ramai yang mengamalkan gaya pemakanan tidak sihat, tidak bersukan berikutan jadual kerja yang padat,” katanya.


Pengarang :