Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai program pelaburan tidak wujud, selain hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (gambar hiasan)
PENDAPATRENCANA

Dasar kesihatan mental perlu lebih jelas

KUALA LUMPUR, 19 OKT: “Pernah saya beritahu dia bahawa saya tidak pandai membuat sebarang kerja. Namun, beliau membalas, survival atau ikhtiar hidup adalah suatu anugerah”.

Kata-kata ini dipetik daripada buku bertajuk memoir Girl, Interrupted yang ditulis Susanna Kaysen, penulis berbangsa Amerika Syarikat (AS) pada 1993.

Kisah memoir yang turut difilemkan itu menceritakan pengalaman Susanna yang menjalani kehidupan sebagai pesakit mental selama dua tahun di sebuah hospital psikiatri di AS.

Benar seperti yang diperkatakan dalam buku itu, ikhtiar hidup adalah suatu anugerah, lebih-lebih lagi bagi seorang pesakit mental.

Ini kerana pesakit mental sering diskriminasi dan dipinggirkan oleh masyarakat meskipun isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian daripada kerajaan, pengamal perubatan dan badan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib mereka.

Situasi sebegini berlaku gara-gara peningkatan pesakit mental dan kejadian membunuh diri dalam kalangan pesakit.

Bagaimanapun, persoalannya, adakah kesedaran itu diterjemahkan kepada tindakan atau penggubalan dasar yang betul untuk menangani isu kesihatan mental di negara ini?

Stigma menghantui pesakit mental

Di Malaysia, prognosis bagi pesakit mental amat optimistik di sebalik peningkatan kesedaran dan pendidikan psikologi yang berlaku secara meluas termasuk di dalam talian mahupun luar talian.

Diakui bahawa sikap masyarakat umum terhadap penyakit dan pesakit mental telah banyak berubah, demikian menurut Ketua Komunikasi Kreatif MINDAKAMI, Zulaikha Mohamad.

MINDAKAMI adalah sebuah inisiatif belia yang dibiayai sendiri untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental di Malaysia.

“Namun, diakui bahawa stigma dan diskriminasi terhadap pesakit mental masih berleluasa. Sebagai sebuah platform untuk berkongsi pengalaman kesihatan mental, ramai orang berkongsi pengalaman bagaimana mereka diperlakukan secara negatif di media sosial MINDAKAMI.

“Ada kalangan pesakit mental dilayan dengan teruk oleh jururawat dan doktor, dipecat, dihalau dari rumah dan diseksa oleh anggota keluarga secara mental dan fizikal ekoran keadaan diri mereka,” kata Zulaikha yang juga Pengasas Bersama MINDAKAMI kepada Bernama.

Zulaikha berkata, terdapat banyak platform dalam talian yang boleh menjadi ruang selamat umpamanya MINDAKAMI untuk membantu individu ingin mendapatkan sokongan bagi masalah kesihatan mental.

“Orang ramai cenderung melihat penyakit mental dari sudut yang negatif. Misalnya, jika ada seorang selebriti tempatan meluahkan perasaan bahawa beliau sedang bergelut dengan kemurungan. Berita itu akan menjadi kontroversi dan biasanya akan diperbesar-besarkan di media sosial. Malah, ramai yang menganggap bahawa selebriti itu mengada-gada dan hanya ‘’berdrama’.

“Ada pula yang berpendapat bahawa situasi sebegini mencemarkan imej mereka yang benar-benar merana sakit mental”. Namun,diakui bahawa masyarakat kita begitu cepat membuat anggapan dan melabel sesuatu situasi secara berlebih-lebihan.

“Setiap orang boleh menzahirkan pandangan masing-masing di media sosial, namun ini tidak bermakna kita harus memberi komen bagi setiap perkara yang berlaku,” tegas Zulaikha.

Keadaan kesihatan mental di Malaysia

Menurut laporan Penyelidikan Sistem Kesihatan Malaysia (Mac 2016), penyakit mental adalah penyebab utama kerugian bagi individu, keluarga, majikan, sistem kesihatan dan kebangsaan.

Ini kerana ia melibatkan kos kesihatan secara langsung dan tidak langsung, ketidakhadiran, kehilangan produktiviti semasa di tempat kerja dan mengurangkan pendapatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika dilantik memegang jawatan itu berikrar bahawa isu kesihatan mental akan menjadi antara fokus utama beliau apabila menyandang porfolio kesihatan.

Malah, kesihatan mental kini turut menjadi keutamaan pelbagai kementerian kerana ia secara semula jadinya bersifat holistik.

Menurut Zulaikha, masalah berkaitan penyakit mental semakin mendapat perhatian sejak lima tahun lepas, sebagaimana dilakukan oleh organisasi kesihatan mental yang berkembang di negara ini selain inisiatif yang dijalankan MINDAKAMI dan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA). Usaha ini demi untuk menyediakan sistem sokongan yang kuat untuk pesakit, terutama pesakit muda.

Beliau berkata, penilaian kesihatan mental yang ditawarkan di klinik-klinik kesihatan kerajaan dan penubuhan pusat kesihatan mental komuniti di seluruh negara, seperti Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) di bawah Kementerian Kesihatan.

Perkhidmatan penjagaan kesihatan mental yang formal dilaksanakan dalam tiga cabang utama – perkhidmatan kesihatan mental di hospital, penjagaan kesihatan primer dan perkhidmatan kesihatan mental berasaskan komuniti.

“Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2015 menunjukkan bahawa terdapat peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa dan ia juga bermakna bahawa semakin ramai orang sedar dan berfikiran terbuka mengenai masalah kesihatan mental.

Walau bagaimanapun, katanya, sehingga kini masih tiada garis panduan rasmi, prosedur operasi standard dan latihan untuk pihak di barisan hadapan seperti pegawai polis, jururawat dan anggota bomba untuk mendekati pesakit mental dengan cara yang lebih kesejahteraan dan menjaga hak asasi manusia.

Realiti sebenar

Meskipun bidang kesihatan lain berkembang dengan pesat daripada segi pengenalan dasar dan penguatkuasaan udang-undang termasuk peraturan larangan merokok di restoran dan premis makanan dan program Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40), namun isu kesihatan mental dilihat masih belum mantap.

Berdasarkan fakta, gangguan mental dan kadar bunuh diri di Malaysia meningkat sejak sedekad yang lalu dan menjurus kepada peningkatan krisis. Oleh demikian, tindakan segera perlu diambil untuk menangani masalah ini.

Menurut Pegawai Penyelidikan Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Jade See, populasi B40 berisiko tinggi untuk menghadapi masalah kesihatan mental ekoran keadaan kehidupan mereka yang sukar.

“Ini akan memberi kesan ketara kepada mereka kerana mereka merupakan golongan yang tidak mampu ke klinik swasta dan hanya boleh mendapatkan rawatan di pusat penjagaan kesihatan awam,” katanya.

Tidak sabitkan kesalahan jenayah bagi cubaan bunuh diri

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira satu juta orang mati akibat bunuh diri setiap tahun dan ini mewakili kadar kematian global sebanyak 16 orang atau satu kematian bagi setiap 40 saat.

Di Malaysia, kadar bunuh diri dianggarkan secara puratanya 13 orang bagi setiap 100,000 individu. Kadar cuba membunuh diri pula secara purata dianggarkan 15 kali lebih tinggi berbanding bilangan bunuh diri yang benar-benar berlaku.

Meskipun, beberapa kementerian sedang berusaha untuk menangani masalah ini, termasuk merangka pelan tindakan strategik bagi kesihatan mental, tindakan holistik dan kerjasama perlu dipertingkatkan untuk mengawal keadaan kesihatan mental di Malaysia.

Menurut Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Pusat, dalam dasar ringkasnya yang bertajuk “Meningkatkan Kesihatan Mental di Malaysia: Saranan bagi Penggubal Polisi”” yang diterbitkan pada Januari 2019, menyebut bahawa Seksyen 309 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman terhadap mana-mana individu yang disabitkan kesalahan cuba membunuh diri dengan hukuman penjara maksimum setahun denda atau kedua-duanya.

Menurut pusat berkenaan, hukuman sebegini mempunyai kesan negatif kepada mereka yang cuba membunuh diri dan menggesa kerajaan untuk memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

“Memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan boleh menghilangkan rasa takut daripada didakwa serta menghalang orang ramai ke sini untuk mendapatkan bantuan,” kata See.

Sementara itu, Zulaikha berkata, MINDKAMI berpendapat bahawa kesihatan mental perlu dipandang serius sebagai sakit fizikal dan perlu ada kerjasama antara unit dalam kementerian bagi menangani masalah kesihatan mental kerana ia bukan sahaja menjadi tanggungjawab Kementerian Kesihatan.

“Tidak mensabitkan cubaan bunuh diri sebagai jenayah perlu dilakukan bagi mengurangkan stigma mengenai isu-isu kesihatan mental. Undang-undang anti diskriminasi juga perlu dilaksana dan dikuatkuasakan untuk individu yang mengalami masalah penyakit mental kerana Akta Orang Kurang Upaya 2008 terbukti tidak mencukupi, ” katanya.

Kerajaan juga harus mewujudkan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM) kerana negara kekurangan pangkalan data komprehensif bagi kes bunuh diri.

NSRM ditubuhkan pada 2007 untuk membolehkan orang ramai mengakses data mengenai bunuh diri di negara ini. Walau bagaimanapun, selepas dua laporan diterbitkan, laman web rasmi NRSM tidak lagi wujud pada 2009.

Pada awal Jun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa Jabatan Peguam Negara diarahkan mengkaji cadangan untuk tidak mensabitkan cubaan bunuh diri sebagai termaktub di dalam Kanun Keseksaan.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial juga menggesa agar diwujudkan semula Daftar Kesihatan Mental Negara untuk memastikan liputan menyeluruh terhadap gangguan mental, kemas kini dan pemantauan teratur, dan pendaftaran secara terus di dalam sistem penjagaan kesihatan.

Buat permulaan, pejabat pendaftaran boleh menyusun data sedia ada yang berkaitan dengan kesihatan mental dari pejabat pendaftaran lain, seperti Laporan Prestasi Kesihatan Mental Nasional 2016, kata Pusat Galen.

Mengurus golongan muda di sekolah awam

Menurut Zulaikha, MINDAKAMI berpendapat bahawa saringan dan pendidikan mengenai kesihatan mental perlu ditangani dari awal usia untuk mengelakkan kanak-kanak daripada mengalami masalah kesihatan mental yang teruk apabila dewasa kelak.

“Kita tahu bahawa Kementerian Kesihatan mempunyai Program Minda Sihat di sekolah awam walaupun ia tidak begitu meluas. Namun, saya kurang yakin dengan keberkesanannya kerana masih belum ada laporan nasional untuk menilai program ini,” kata Zulaikha.

Justeru beliau menggesa agar lebih banyak pekerjaan disediakan untuk pegawai psikologi dan ahli psikologi klinikal dalam sektor kerajaan kerana ramai yang mendapatkan rawatan di sektor swasta kerana kekurangan peluang dalam kerajaan.

“Kerajaan juga perlu melihat kelayakan, pematuhan etika dan kecekapan kaunselor sekolah kerana ramai pelajar takut untuk menghubungi mereka kerana terdapat persepsi bahawa kaunselor akan memberitahu orang lain dan ia akan tersebar di sekolah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :