AGENDANASIONAL

Dasar Pengangkutan Negara dilancar minggu depan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Kementerian Pengangkutan akan mengemukakan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 (DPN 2019-2030) baharu, yang dijangka akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahthir Mohamad pada hari Khamis, minggu depan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata, DPN 2019-2030 bakal membangunkan sektor pengangkutan mampan yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat seiring dengan status negara maju.

“Sektor pengangkutan merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kecekapan dan kebolehpercayaan kemudahan dalam perkhidmatan pengangkutan adalah penting untuk menyokong aktiviti komersil serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Adalah menjadi satu keperluan kepada sektor pengangkutan untuk mempunyai satu dokumen polisi yang bersifat strategik dan holistik serta merangkumi pelbagai mod iaitu darat, udara dan air,” katanya ketika memberi taklimat kepada media berkenaan DPN 2019-2030 di sini, hari ini.

Beliau berkata, penggubalan DPN mengambil kira potensi perkembangan serta hala tuju sektor pengangkutan pada masa hadapan seperti isu-isu berkaitan mobiliti penduduk Malaysia yang dijangka meningkat daripada 40 juta perjalanan harian pada tahun 2010 kepada 131 juta perjalanan harian pada tahun 2030.

-BERNAMA


Pengarang :