EXCOSELANGOR

Diskaun 15 peratus daftar awal SIBS 2020

SHAH ALAM, 23 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) kali ke-4 bakal dilangsungkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 14 Oktober sehingga 17 Oktober tahun hadapan.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, pempamer yang mendaftar awal berpeluang mendapatkan potongan harga sebanyak 15 peratus sehingga 31 Disember ini.

“Sukacita kami juga ingin mengumumkan tawaran potongan harga istimewa untuk pendaftaran awal kepada semua peserta pameran makanan dan minuman (F&B) sebanyak 15 peratus.

“Kami berhasrat untuk menjemput semua pempamer menyertai sidang kemuncak ini dan sila hubungi Invest Selangor Berhad untuk maklumat lanjut mengenai tawaran istimewa dan maklumat SIBS 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

SIBS 2019 kali ke-3 berjaya merekodkan penigkatan nilai transaksi berjumlah RM447.3 juta sepanjang empat hari berlangsung bermula 10 Oktober sehingga 13 Oktober di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Chang Khim berkata, pihaknya turut berhasrat meletakkan sasaran nilai transaksi lebih tinggi sekitar RM250 juta tahun hadapan.


Pengarang :