AGENDABERITA UTAMANASIONAL

DPN 2019-2030 fokus penggunaan optimum infrastruktur elak pembaziran

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Mengoptimumkan, membina dan menyelenggara infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan untuk memaksimumkan kecekapan ditetapkan sebagai teras dasar kedua dalam Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 yang dilancarkan hari ini.

Menurut buku DPN 2019-2030, di bawah teras dasar tersebut, kerajaan menggariskan enam strategi dan 30 pelan tindakan dikenal pasti untuk tujuan tersebut.

“Teras dasar ini memberi keutamaan kepada penggunaan secara optimum infrastruktur dan perkhidmatan untuk mengurangkan pembaziran dan meningkatkan produktiviti.

“Ini boleh dicapai dengan memanfaatkan penggunaan teknologi pendigitalan bagi menguruskan permintaan dengan berkesan,” menurut buku tersebut.

Oleh yang demikian, perancangan untuk membina dan memperkenalkan infrastruktur, perkhidmatan dan ketersambungan baharu mestilah berdasarkan permintaan (memahami tabiat pelanggan) selain dinilai dengan teliti untuk memahami keperluan sebenar dan kebolehlaksanaan inisiatif tersebut, katanya.

Menurut buku itu, teras ini menekankan penggunaan rangkaian digital (Internet Pelbagai Benda dan sistem teknologi maklumat) bagi meningkatkan ketersambungan dan integrasi, justeru, wajar dipertimbangkan untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan khusus sekiranya wujud keperluan tersebut.

Objektif teras dasar ini adalah meningkatkan sumbangan ekonomi oleh sektor pengangkutan; dan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pengangkutan, menurutnya.

Di bawah teras ini- yang memenuhi prinsip ekonomi pengangkutan mampan- enam strategi telah digariskan iaitu melaksanakan secara pintar dan mengurus lebih cekap infrastruktur sedia ada dan baharu; dan meningkatkan penggunaan perkhidmatan rel untuk penumpang dan barangan.

Strategi lain ialah menaik taraf perhubungan darat yang menghubungkan pintu masuk utama negara dan meningkatkan ketersambungan antara koridor; mengukuhkan rejim penyelenggaraan bagi infrastruktur; meningkatkan daya saing perkhidmatan kargo udara bagi menyokong usaha Malaysia menjadi pusat pengedaran serantau; serta memodenkan dan mengintegrasikan sektor logistik bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Menurut buku tersebut, kerajaan akan mengoptimumkan infrastruktur dan aset sedia ada melalui penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam pengangkutan, seperti meningkatkan penggunaan automasi dan pendigitalan untuk meningkatkan kecekapan operasi di pelabuhan dan kapal.

“Penggunaan teknologi berpotensi untuk menyelesaikan sebahagian masalah dan cabaran yang dihadapi serta memberikan maklumat gambaran mengenai permintaan masa hadapan secara lebih tepat bagi membantu perancangan dan pembinaan infrastruktur yang optimum,” katanya.

Pergerakan rel barangan buat masa ini hanya menggunakan 30 peratus daripada kapasiti landasan rel dan hanya 1.6 peratus daripada kargo darat diangkut menggunakan kereta api.

Menurut buku itu, berdasarkan perangkaan ini, wujud potensi besar dalam penghantaran barangan menggunakan kereta api, terutama untuk barangan berbahaya dan berisiko.

“Pada masa sama, masih wujud lebihan kapasiti dalam perkhidmatan KTM Komuter dan rel antara bandar yang wajar dipertingkatkan penggunaannya.

“Justeru, kerajaan akan menambah baik kemudahan rel ke pelabuhan dan di dalam kawasan pelabuhan untuk melancarkan pergerakan barangan,” menurut buku itu.

Kerajaan juga akan membina jalan raya bagi ketersambungan lebih baik di antara kawasan bandar dan luar bandar serta di luar bandar.

Ini berikutan pelbagai isu yang dihadapi antaranya penggunaan mod yang tidak seimbang dan kebergantungan yang tinggi kepada jalan raya, kesesakan lalu lintas dan kemudahan logistik darat yang terhad seperti gudang dan depoh.

Rejim penyelenggaraan untuk semua aset dan infrastruktur perlu diperkukuh untuk memastikan perkhidmatan pengangkutan yang disediakan yang lancar, selamat dan cekap, katanya.

“Kebanyakan punca kelewatan dan peningkatan kos boleh dikaitkan dengan kekurangan inisiatif penyelenggaraan.

“Ini memerlukan agensi yang berkaitan mempertingkatkan penyelarasan dan kerjasama bagi penggunaan sumber yang lebih cekap,” katanya.

Trend global baharu dalam kargo udara akan membawa impak amat besar kepada sektor pengangkutan sekali gus meningkatkan cabaran untuk memastikan infrastruktur yang disediakan adalah sesuai dan selamat.

Rangka kerja perundangan sedia ada perlu diteliti kerana sekiranya peraturan terlalu ketat, ia akan menyebabkan kos mengendalikan perniagaan naik secara mendadak, menurut buku itu.

Ia juga memberi kesan kepada tempoh transit dan menjejaskan penggunaan kargo udara sebagai kaedah yang cepat untuk memindahkan barangan.

Antara pelan tidakan yang akan diambil ialah memudahkan pengendalian kargo pemunggahan yang melibatkan pelbagai mod pengangkutan dengan mempertingkatkan kemudahan, kebolehcapaian dan kemampuan, kata buku itu.

Berdasarkan percambahan pelbagai teknologi baharu seperti perkhidmatan berasaskan awan, sensor miniatur dan pembelian dalam talian, wujud permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan logistik bersepadu.

“Oleh itu, antara pelan tindakan termasuk membangunkan logistik bandar untuk menangani peningkatan urbanisasi dan menyokong aktiviti e-dagang, meningkatkan kebolehcapaian serta kemampuan menghantar barangan ke kawasan luar bandar dan pedalaman,” menurutnya.

– BERNAMA


Pengarang :